Kerjasama Redbeat-UNITAR pacu industri teknologi pendidikan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Redbeat-UNITAR pacu industri teknologi pendidikan

KUALA LUMPUR 21 Sep - Redbeat Academy, cabang teknologi pendidikan airasia Digital kini menawarkan akses lebih luas untuk kursus latihan pendidikan tinggi di redbeatacademy.com dengan kerjasama Universiti Antarabangsa UNITAR. 

 

Kerjasama antara Platform Pembelajaran oleh Tenaga Pengajar (Instructor-Led Training) serta Platform Pembelajaran Sesuai Permintaan (On-Demand Learning) Redbeat Academy dan Program Akademik UNITAR akan memacu industri latihan melalui pelaksanaan platform pembelajaran dalam talian yang telah dipertingkatkan untuk menyediakan pelbagai kursus dan sijil kemahiran yang relevan dalam era digital ini.

 

Melalui kerjasama ini, pelbagai program dan inisiatif bersama akan dilaksanakan termasuk perkongsian maklumat mengenai pengembangan kursus, perkongsian kemudahan fasiliti dan kepakaran relevan yang diperlukan oleh kedua-dua pihak dan komuniti. Selain itu, pelbagai projek lain akan dikenal pasti pada masa akan datang untuk terus menyokong dan menerajui keperluan teknologi pendidikan di rantau ini. 

 

Untuk program pengesahan pembelajaran (micro-credential), beberapa kursus terpilih yang disediakan oleh UNITAR akan tersedia di Platform Pembelajaran oleh Tenaga Pengajar (Instructor-Led Training) Redbeat Academy. Para pelajar yang telah lulus dalam kursus-kursus tersebut dan kemudian mendaftar dalam program penuh Diploma, Sarjana Muda atau Ijazah Sarjana di UNITAR akan diberikan pengecualian untuk kursus yang telah diambil seterusnya mempercepatkan pembelajaran mereka di universiti.

 

Kursus pendidikan tinggi baharu yang ditawarkan oleh UNITAR kini tersedia untuk pendaftaran di redbeatacademy.com termasuklah kursus Pemikiran Kreatif, Komunikasi, Psikologi, Seni dan Reka Bentuk Media, Kewangan, Hospitaliti, Kulinari dan banyak lagi. 

 

Sempena kerjasama ini dan bulan Hari Malaysia, Redbeat Academy dan UNITAR akan menawarkan diskaun sebanyak 25% untuk semua kursus Pembelajaran oleh Tenaga Pengajar (Instructor-Led Training) UNITAR bermula hari ini hingga 31 Oktober 2021. 

 

Pengarah Strategi dan Inovasi Redbeat Academy, Dr. Ram Gopal berkata, kerjasama dengan Universiti Antarabangsa UNITAR ini menanda satu lagi kejayaan untuk Redbeat Academy dalam usaha pihaknya untuk terus memperkembangkan dan menyediakan pendidikan profesional berkualiti tinggi untuk semua melalui pengesahan pembelajaran (micro-credential), kursus pembelajaran bersama dan program kursus latihan pendidikan.

 

 

Pengarah Strategi dan Inovasi Redbeat Academy, Dr. Ram Gopal
Dr. Ram Gopal

 

 

Menurutnya, Redbeat Academy kini menawarkan lebih daripada 100 jenis kursus dan kursus pendidikan baharu ini akan memberikan lebih banyak pilihan untuk semua yang ingin mempelajari atau menambah baik diri mereka dengan kemahiran baharu.

 

''Kami pasti ada kursus yang sesuai untuk setiap individu dengan pelbagai sesi yang telah direka khas untuk memenuhi keperluan anda.

 

''Melalui kerjasama rapat dengan UNITAR, kami berharap untuk menyediakan akses yang lebih luas dan kursus pendidikan dalam talian yang menarik untuk semua orang mempelajari kemahiran baharu dan bersedia untuk alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

  

Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kerjasama strategik antara UNITAR dan Redbeat Academy membuka peluang menarik untuk sektor teknologi pendidikan.

 

 

Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar

 

 

Katanya, pandemik ini membawa pembaharuan dalam strategi dan operasi, termasuk dalam sektor pendidikan untuk ke arah digital mengikut kesesuaian masa kini.

 

''Selain mewujudkan peluang dan bidang baharu dalam tenaga kerja digital untuk para pelajar kami, kami juga berharap dapat bekerjasama dalam pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang perniagaan, penjenamaan bersama, pengembangan program latihan, perkongsian kemudahan fasiliti, dan kepakaran untuk semua aktiviti yang dijalankan,” kata beliau.  

 

Universiti Antarabangsa UNITAR telah ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai universiti maya pertama di Asia Tenggara dan merupakan antara universiti swasta terawal di negara ini. UNITAR merupakan institusi pertama di Asia yang menerima pengiktirafan QS5-Bintang bagi kategori Pembelajaran Dalam Talian. 

 

Sejak penubuhannya, Redbeat Academy telah bekerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk membangunkan semula bakat-bakat dalam projek Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Tinggi (seperti blockchain dan data). 

 

Selain tu, Redbeat Academy juga telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Asia School of Business yang bekerjasama dengan MIT Sloan Management, Imperial College London, Asia Pacific University untuk memberikan pengesahan pembelajaran (micro-credential) bagi kursus-kursus di Redbeat Academy dan memperakuinya sebagai sebahagian daripada Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL). - DagangNews.com