Kerjasama serantau penting untuk peralihan tenaga - Petronas | DagangNews Skip to main content

Kerjasama serantau penting untuk peralihan tenaga - Petronas

Selain solar dan angin, Petronas akan terus mencari sumber tenaga baharu yang boleh melengkapi portfolio gas asli cecair (LNG)

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Sokongan dan campur tangan kerajaan dalam membangun dan melaksanakan dasar sokongan tenaga dan kawal selia yang mesra perniagaan adalah penting kepada perniagaan untuk bertahan. 


Dalam masa sama, kerjasama sektor awam-swasta akan membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) berasaskan teknologi termasuk pemilik teknologi dan penyedia penyelesaian.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz turut menekankan betapa pentingnya  rantau ASEAN untuk menangani trilemma tenaga membabitkan keselamatan, kelestarian dan kemampuan. 


Katanya, peralihan tenaga di ASEAN dalam konteks trilemma ini bergerak dalam haluan yang berbeza memandangkan rantau ini kebanyakannya terdiri daripada negara-negara membangun dengan persaingan dari segi agenda sosial dan ekonomi. 


"Walaupun keselamatan tenaga memainkan peranan penting di rantau ini, tetapi ekonominya perlu mencapai keseimbangan yang tepat antara kemampuan dan keselamatan tenaga.


"Dalam hal ini, Petronas komited untuk meneruskan usaha menyalurkan tenaga dan pada masa sama mengimbangi trilemma tenaga," katanya. 

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz 


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk Prospek Tenaga Asia Tenggara Dalam Konteks Global pada pembukaan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2020 secara maya, semalam. 


Forum selama 3 hari itu bertemakan Responsive and Cohesive Energy Pathways for ASEAN menghimpunkan pemimpin kerajaan dan pemain dalam industri tenaga di rantau ASEAN.  


Petronas sebelum ini mengumumkan aspirasinya untuk mencapai Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik untuk mencapai keseimbangan dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


Sehubungan itu, Petronas meminta kerjasama yang kukuh dalam kalangan kerajaan di rantau ASEAN, pemain industri tenaga termasuk sektor awam dan swasta untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam mencapai masa depan yang lestari dan berkarbon rendah. 


Sehingga kini, negara anggota ASEAN secara kolektif menyokong sasaran untuk meningkatkan kadar kecekapan tenaga, mengehadkan pelepasan dari bahan bakar fosil dan memperluaskan peranan dalam tenaga baharu terutama sektor tenaga. 


Ini secara tidak langsung menandakan rantau ini bergerak dalam momentum yang betul memandangkan lebih banyak negara di rantau Asia Tenggara bergerak ke arah menerapkan peralihan tenaga global.  


Muhammad Taufik berkata, meskipun rantau ini menuju ke arah tenaga karbon neutral, masih terdapat peluang untuk memperkukuhkan kerjasama serantau. 


Dalam masa sama, katanya, ini juga akan mewujudkan ekosistem yang betul bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang luas daripada sumber yang bersih dan lestari terutama solar dan angin. 


"Peralihan kepada masa depan rendah karbon memerlukan kerjasama dan tindakan kolektif dari semua pihak berkepentingan," katanya. 


Beliau memberitahu, gas asli kekal menjadi teras bagi Petronas memandangkan ia adalah sumber bahan api fosil yang bersih dan menawarkan penyelesaian bersesuaian untuk memastikan keperluan tenaga penduduk Asia Tenggara yang semakin meningkat. 


Katanya, selain solar dan angin, Petronas akan terus mencari sumber tenaga baharu yang boleh melengkapi portfolio gas asli cecair (LNG). 


"Ini termasuklah hidrogen yang mana syarikat sedang bekerjasama ke arah gabungan yang mapan dengan penyedia teknologi untuk membangunkan bahan bakar hidrogen pelepasan sifar daripada produk berasaskan bio dan kejuruteraan karbon," katanya. - DagangNews.com