Kerjasama TNB, Siemens Energy pemangkin kepada penerokaan teknologi hidrogen di Malaysia - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerjasama TNB, Siemens Energy pemangkin kepada penerokaan teknologi hidrogen di Malaysia - Tengku Zafrul

Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke kilang Siemens Enegery bersempena lawatan rasmi ke Jerman.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Siemens Energy dilihat mampu menjadi pemangkin kepada penerokaan teknologi dan penyediaan rumusan inovatif bagi penggunaan hidrogen di Malaysia.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

 

"TNB dan Siemens Energy sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun lalu yang bertujuan mempercepatkan proses penyahkarbonan jana kuasa termal TNB, menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya menerusi satu hantaran di laman X, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman mulai Isnin. 

 

Anwar memulakan lawatannya ke Jerman dengan melawat Siemens Energy, salah satu syarikat teknologi tenaga terkemuka dunia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: TNB, Siemens Energy jalin kerjasama bagi pembangunan hidrogen hijau

 

Terdahulu, jalinan kerjasama dengan Siemens Energy itu memberi TNB peluang mendalami ilmu dan kepakaran terkini serta sumber tenaga berasaskan hidrogen, dengan tumpuan kepada pengeluaran hidrogen hijau menggunakan elektroliser dan sumber penjanaan daripada RE seperti pam hidro dan solar.

 

Kerjasama itu juga akan meneroka rumusan inovatif dan teknologi terkini dengan sasaran kos efektif dalam pengeluaran hidrogen hijau Malaysia selain menangani cabaran-cabaran yang berkaitan.

 

Menerusi NETR, pembakaran hidrogen dan amonia diiktiraf sebagai salah satu projek utama yang mana TNB dipilih sebagai peneraju untuk memimpin pelaksanaannya dengan kerjasama Petronas, sebagai sebahagian daripada inisiatif dekarbonisasi negara. 

 

Siemens Energy beroperasi di 90 negara, dan menggaji kira-kira 90,000 pekerja yang terlibat dalam keseluruhan landskap tenaga bermula daripada tenaga konvensional kepada RE, teknologi grid kepada penyimpanan, dan elektrifiasi proses industri yang kompleks.

 

Kilangnya di Huttenstrasse, Berlin mempunyai kira-kira 3,400 pekerja yang terlibat dalam pemasangan turbin gas dan sistem pengeluaran hidrogen berasaskan elektrolisis. - DagangNews.com