Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Unit Kerjaya Prospek Group Bhd menerima surat anugerah (LOA) bagi projek kediaman bernilai RM258 juta di Plentong, Johor daripada Teguh Harian Build-Tech Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tee Eng Tiong berkata, LOA tersebut adalah bagi pembangunan bangunan utama bagi projek pembangunan kediaman yang dicadangkan di Kampung Bendahara, Johor Bahru.
Beliau berkata, projek tersebut merangkumi pembinaan bangunan utama untuk 3 blok pangsapuri dengan kawasan umum dan kemudahan mekanikal & elektrik (M&E) dan podium parkir kenderaan 12 tingkat.
"Di tengah persekitaran yang mencabar yang disebabkan oleh wabak COVID-19, kami berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM907.6 juta setakat ini tahun ini.
"Kami yakin dapat terus memenangi lebih banyak kontrak untuk sepanjang tahun ini dan mencapai sasaran pengisian semula buku pesanan dalaman kami sebanyak RM1 bilion untuk tahun 2021.
"Dengan negara mencapai kadar vaksinasi lebih dari 90% untuk populasi orang dewasa dan pembukaan ekonomi kita secara beransur-ansur, kita meramalkan prospek yang lebih baik untuk industri pembinaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Untuk rekod, ini merupakan kemenangan kontrak keenam Kerjaya prospekuntuk tahun ini menjadikan jumlah kontrak yang dimenanginya sehingga kini berjumlah RM907.6 juta.
Syarikat itu juga memiliki jumlah buku pesanan tertunggak kira-kira RM3.6 bilion yang akan memberi keuntungan kepada Kumpulan untuk 3 tahun akan datang.
Bahagian pembinaan Kerjaya Prospek terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan komersial bertingkat tinggi untuk beberapa pelanggan premium di Malaysia.
Kerjaya Prospek juga pernah memenangi projek infrastruktur meha untuk kerja-kerja penambakan fasa kedua Seri Tanjung Pinang (STP 2) Pulau Pinang pada tahun 2016. -DagangNews.com