Kerjaya Prospek raih kontrak RM33.2 juta, pemasangan cerucuk apartmen 49 tingkat di P. Pinang | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak RM33.2 juta, pemasangan cerucuk apartmen 49 tingkat di P. Pinang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - Kerjaya Prospek Group Berhad meraih kontrak daripada Persada Mentari Sdn. Bhd.(PMSB) bagi melaksanakan dan menyiapkan cerucuk dan kerja tanah untuk pembinaan apartmen perkhidmatan di Pulau Pinang yang bernilai RM33.2 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek Group berkata, surat anugerah itu diterima subsidiarinya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd pada hari ini, 1 April 2024.

 

Katanya, projek apartment 49 tingkat dengan 1 tingkat bawah tanah dan 2 tingkat lower ground tersebut terletak di Lot 839 dan 841, Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

 

"Kontrak ini meliputi pelaksanaan dan penyiapan sistem cerucuk asas dan penutup cerucuk, pembinaan ruang bawah tanah serta 2 tingkat terendah dan semua kerja tapak yang berkaitan di samping kerja tanah untuk cadangan apartmen perkhidmatan tersebut.

 

"Kontrak akan bermula pada 17 Jun 2024 dan akan diselesaikan dalam tempoh 12 bulan," katanya hari ini.

 

Kontrak tersebut kata Kerjaya Prospek, akan menambah baik buku pesanan sedia ada Kumpulan.

 

"Kontrak ini tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan Syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 2024 hingga 2025," ujarnya.

 

Menurut Kerjaya Prospek, PMSB ialah syarikat subsidiari tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O), sebuah syarikat yang Pengarah tertentu dan pemegang saham utama Syarikat mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung.

 

"Datuk Tee Eng Ho, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kerjaya Prospek Group ialah Pengerusi Eksekutif E&O dan juga pemegang saham utama KPGB dan E&O. Eng Ho mempunyai kepentingan dalam KPGB dan E&O melalui syarikat yang beliau serta pasangannya, Datin Toh Siew Chuon dan abangnya, Datuk Tee Eng Seng mempunyai kepentingan langsung.

 

"Siew Chuon dan Eng Seng, kedua-duanya ialah Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek dan juga pemegang saham utama Kerjaya Prospek dan E&O berdasarkan kepentingan mereka yang dianggap dalam KPGB dan E&O melalui syarikat yang kedua-duanya dan Datuk Tee Eng Ho mempunyai kepentingan secara langsung atau dianggap mempunyai kepentingan.

 

"Kepentingan Datuk Tee Eng Ho, Datin Toh dan Datuk Tee Eng Seng dalam E&O adalah secara langsung dan/atau dianggap kepentingan, secara kolektif mewakili 100% pemilikan dalam Amazing Parade Sdn. Bhd., Javawana Sdn. Bhd., Kerjaya Prospek Development (M) Sdn. Bhd. dan Paramount Spring Sdn. Bhd," katanya.

 

Tambah Kerjaya Prospek, kecuali yang tersebut di atas, tiada pengarah lain dan/atau pemegang saham utama Syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam Kontrak.- DagangNews.com