Kerjaya Prospek raih projek bernilai RM398 juta daripada Tanjung Pinang Development | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih projek bernilai RM398 juta daripada Tanjung Pinang Development

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Future Rock Sdn. Bhd., telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. (TPD) bernilai RM398 juta.

 

Kontrak itu adalah untuk pembinaan struktur perlindungan pantai sementara bagi cadangan pembangunan Seri Tanjung Pinang (Fasa 2B & 2C) (STP2) di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

 

Projek tersebut dijangka akan bermula pada 10 April 2023 untuk tempoh 36 bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata,  LOA yang diperoleh daripada TPD menjadikan jumlah kontrak tahun ini yang diraih sehingga kini berjumlah RM533.4 juta.

 

“Ini termasuk kontrak baharu dan LOA daripada BBCC Development Sdn. Bhd. bernilai RM135.4 juta yang diumumkan pada 2 Februari 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Kata Eng Tiong lagi, buku pesanan tertunggak kumpulan tersebut diperkukuh kepada RM4.7 bilion.

 

“Kami akan terus memanfaatkan kecekapan teras kami untuk mendapatkan projek baharu dalam masa terdekat dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami,” tambahnya. – DagangNews.com