Kerugian melebihi jangkaan, penganalisis turunkan harga sasaran MyNews | DagangNews Skip to main content

Kerugian melebihi jangkaan, penganalisis turunkan harga sasaran MyNews

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Mynews Holdings Berhad (Mynews) yang mencatatkan kerugian lebih besar daripada jangkaan pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) telah mendorong penganalisis untuk menurunkan harga sasaran (TP) kumpulan. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Syazwan Aiman Sobri berkata, firma penyelidikannya menurunkan TP MyNews kepada RM0.91 selepas menyemak turun unjuran perolehan kumpulan dengan saranan ‘pegang’. 

 

“Kami menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) pada FY21 hingga FY23, kebanyakannya mengambil kira pemulihan yang lebih perlahan dari segi kehadiran pengunjung (di MyNews). 

 

“Penguatkuasaan semula ‘lockdown’ penuh bermula 1 Jun lalu dijangka menjejaskan kehadiran pengunjung dan hasil suku ketiga FY21 (3Q21) MyNews memandangkan purata jualan setiap kedai kumpulan amat berkait rapat dengan tahap sekatan pergerakan sejak bermulanya pandemik ini lagi. 

 

“Melihat kepada Pelan Pemulihan Nasional yang digariskan kerajaan, kami fikir pemulihan yang baik dalam kehadiran pengunjungnya dijangka hanya bermula pada 1QFY22, apabila semua sektor ekonomi dibuka semula dan norma sebelum pandemik kembali semula,” jelas Syazwan Aiman dalam satu nota kajian. 

 

MyNews menyaksikan kerugian bersih kumpulan mencecah RM18.6 juta berbanding keuntungan bersih pada 1HFY20 sebanyak RM2.5 juta, angka yang lebih besar daripada ramalan CGS-CIMB. 

 

Hasil bagi 1HFY21 MyNews merudum 23.3% berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya akibat kehadiran pelanggan yang lemah susulan sekatan pergerakan selain impak daripada penutupan kedainya.

 

Seiring semak turun CGS-CIMB, Kenanga Research turut menurunkan TP MyNews kepada RM0.95 dengan penarafan ‘market perform’ ke atas saham kumpulan. 

 

Menurut penganalisisnya, Ahmad Ramzani Ramli, Kenanga juga menurunkan unjuran perolehan MyNews sebanyak 75% dan 4% bagi FY21 serta FY22, masing-masing kepada RM1.6 juta dan RM17.6 juta. 

 

Ini selepas purata jualan setiap kedai diturunkan kepada RM0.75 juta dan RM0.98 juta, masing-masing untuk FY21 dan FY22, katanya lanjut.

 

“Walaupun kami melihat 2HFY21 akan ‘suram’ ekoran ‘lockdown’ yang dilanjutkan, namun kami positif terhadap asas yang diletakkan kumpulan bagi pemulihan ekonomi selepas pandemik. 

 

“Hasil dijangka disokong oleh pembukaan CSV jenama Korea (CU) pada April 2021 di mana MyNews menyasarkan untuk membuka antara 30 hingga 50 buah kedai pada tahun 2021,” tambah beliau lanjut. 

 

Setakat 12.30 tengah hari, saham MyNews menyusut 2.82% kepada RM0.86. - DagangNews.com