Kes mahkamah masih jadi satu masalah terhadap model perniagaan CTOS - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kes mahkamah masih jadi satu masalah terhadap model perniagaan CTOS - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - Penafsiran mahkamah terhadap operasi CTOS Digital Berhad yang masih di peringkat perbicaraan masih merupakan satu cabaran besar kepada model perniagaannya, kata Kenanga Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun sehingga kini tidak ada sebarang injunksi terhadap produk-produk CTOS, ada keraguan tentang keupayaan syarikat untuk membuktikan bahawa keputusan mahkamah tidak akan memberi kesan terhadap operasi dan prestasi kewangannya.

 

"Dari segi operasi, ia kelihatan seperti biasa dengan tarikh pendengaran rayuan bagi keputusan mahkamah yang tidak memihak ditetapkan baru-baru ini pada Julai 2024. 

 

"Kami tetap berhati-hati dengan kesukaran berterusan CTOS. Kami mengekalkan ramalan kami pada harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham dan panggilan UNDERPERFORM," katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi

 

Ujar Kenanga Research, kumpulan itu menekankan kemampuanuntuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM125 juta hingga RM130 juta berdasarkan pendapatan yang terkumpul di tengah-tengah beberapa projek yang sedang berlangsung

 

Katanya, kelebihan yang ada adalah penyelesaian digital e-KYC yang diperkemas kini serta ciri-ciri berasaskan langganan yang juga boleh meraih pendapatan yang besar sambil menyokong model perniagaan yuran berulang yang lebih tinggi. 

 

"Berkenaan dengan keputusan mahkamah terkini, kumpulan itu berkongsi bahawa ia telah menetapkan tarikh pendengaran rayuannya pada 9 Julai 2024, di mana ia yakin untuk berjaya. 

 

"Di antara itu, kumpulan itu belum berdepan kes mahkamah baru selain dari lima kes yang sedang berlangsung," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment Bank berkata, saranan BELI dikekalkan dengan harga sasaran (TP) RM1.77 sesaham, potensi kenaikan harga saham 26%, dan kadar hasil dividen 2.4% bagi FY24F. 

 

"Untuk 1Q24, CTOS Digital mencatat nilai PATAMI teras sebanyak MYR21.4j (+3.1% YoY) yang menepati jangkaan berikutan ramalan prestasi lebih kukuh pada suku-suku mendatang. 

 

"Kami terus menyukai CTOS Digital selaku sebuah agensi pelaporan kredit terkemuka memandangkan ia mengamalkan kerangka perniagaan kalis kemelesetan ekonomi selain menjana punca pendapatan teguh menerusi beberapa strategi pertumbuhan dalam era pendigitalan masa kini," ujarnya.

 

Kata firma itu, CTOS yakin  penggunaan penyelesaian digital yang lebih pesat untuk ID pelbagai muka eKYC, produk penilaian dan analisis portfolio secara menyeluruh, dan pengambilan pelanggan baharu akan memacu pertumbuhan buat FY24.

 

"Pada peringkat syarikat bersekutu pula, pelancaran pelantar digital, usaha pengembangan produk, dan tawaran projek baharu adalah antara faktor pertumbuhan penting," katanya. - DagangNews.com