Kes penipuan pelaburan meningkat pada 2021 - Bukit Aman | DagangNews Skip to main content

Kes penipuan pelaburan meningkat pada 2021 - Bukit Aman


 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Lebih 4,800 kes jenayah kolar putih dilaporkan sepanjang tempoh dua tahun lepas melibatkan kes penipuan pelaburan mencecah kerugian
lebih RM420 juta.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kes penipuan pelaburan dalam talian merekodkan peningkatan
kepada 3,195 kes melibatkan kerugian bernilai lebih RM245 juta pada 2021 berbanding 1,671 kes dengan nilai kerugian lebih RM180 juta pada 2020.

 

“Seramai 906 individu ditahan pada 2020 manakala 1,833 individu pada tahun lepas atas kesalahan penipuan pelaburan,” katanya pada sidang media khas di sini Rabu.

 

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin  juga menasihatkan  orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial seperti di
Facebook, Youtube, WhatsApp dan Wechat.

 

“Sila buat semakan terhadap skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia atau tidak,” katanya.

 

Selain itu, orang awam  dinasihati supaya membuat pengesahan akaun, dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.

 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan dalam talian untuk melaporkannya kepada CCID Scam Response
Centre di 03-26101559 atau 03-26101599.


 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din
                                       Datuk Mohd Kamarudin Md Din

 


Terdahulu, Mohd Kamarudin memberitahu polis telah menahan 10 individu,  termasuk seorang bergelar “Datuk”, yang disyaki terlibat dalam  skim penipuan pelaburan forex di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor, Sabtu lepas.

 

"Sindiket ini dikenali sebagai Pelaburan Forex GCG Asia dan aktif sejak 2018 dan kesemua suspek berperanan sebagai broker, ejen  pencari pelabur, pengurus
kewangan dan pemilik akaun.

 

Sindiket ini menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dan mereka mempromosikan pelaburan berasaskan forex dengan kadar pulangan secara mingguan
antara 12 hingga 14 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan," katanya.

 

Mohd Kamarudin berkata sindiket berkenaan memberitahu para pelabur mereka bahawa wang pelaburan akan dilaburkan oleh syarikat GCG Asia dalam pelbagai
medium untuk menjana keuntungan yang besar.


 

Pelaburan Forex GCG Asia
Laman web Pelaburan Forex GCG Asia yang dibongkar oleh polis sebagai penipuan forex.

 


Menurutnya, pelabur akan diberi pautan laman web pelaburan bersama dengan kata laluan dan akan dapat melihat jumlah keuntungan yang diterima namun
keuntungan tersebut tidak dapat dipindahkan atau ditunaikan.

 

"Sindiket ini kemudian akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan pelabur setelah mendapat jumlah pelaburan besar dan memberhentikan operasi skim
pelaburan berkenaan secara tiba-tiba. Pelabur yang tidak berpuas hati akan merasa diperdaya kerana tidak mendapat pulangan keuntungan yang dijanjikan.

 

Sehingga kini, sejumlah 23 kes sedang disiasat berkait penipuan Pelaburan Forex GCG Asia melibatkan kerugian berjumlah RM2.9 juta," katanya.

 

Hasil siasatan setakat ini, tiada sebarang orang kenamaan (VIP) yang terlibat dengan sindiket ini. Dalang berusia 40 tahun bergelar ‘Datuk’ yang menamakan dirinya sebagai ‘Datuk Seri’ dalam modus operandi mereka. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan ijazah sarjana dalam bidang 'Business Administration' (Pentadbiran Perniagaan). - DagangNews.com