Keselamatan makanan sifar, Malaysia perlu belajar dengan negara lain - MDEC | DagangNews Skip to main content

Keselamatan makanan sifar, Malaysia perlu belajar dengan negara lain - MDEC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Negara-negara lain telah mengambil langkah penting untuk menjamin keselamatan makanan nasional mereka sementara Malaysia pula mencapai skor sifar dalam petunjuk keselamatan makanan dan dasar di bawah GFSI 2020. 

 

Melihatkan situasi berkenaan, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Husin Mohammed Ariff menegaskan bahawa Malaysia perlu belajar dari sejarah negara lain serta melihat keadaan semasa, salah satunya penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR)

 

Kata beliau lagi, sudah tiba waktunya untuk Malaysia mempunyai pendekatan menyeluruh dan strategi holistik oleh kerajaan bagi menjadikan keselamatan makanan sebagai keutamaan penting. 

 

“4IR boleh dilihat sebagai keperluan mendesak untuk keselamatan makanan. Oleh hal yang demikian, maka tidaklah menghairankan apabila negara-negara yang terkedepan dalam bidang food security seperti Finland, Ireland, Belanda, Jerman, Jepun, Singapura dan Korea Selatan telah lama meningkatkan keupayaan teknologi untuk berkhidmat kepada rakyatnya menerusi 'Society 5.0' versi masing - masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Rais Husin Mohammed Ariff
Rais Husin Mohammed Ariff

 

Beliau berkata, hasil daripada projek perintis Digital Agtech oleh MDEC telah membuktikan keupayaan teknologi digital dan automasi dalam pertanian, namun, masih ada ruang untuk ditingkatkan. 

 

Malaysia dapat melepasi versi agri-tech Industry 4.0 dan memasuki 'agtech' yang juga dicadangkan di bawah Malaysia 5.0 di mana diilhamkan berdasarkan Society 5.0 negara Jepun, ujar beliau.

 

Dalam masa terdekat, platform fintech dan perdagangan yang inovatif seperti pasar peer-to- peer (p2p) berasaskan blok rantai boleh dipertimbangkan untuk menyokong petani kecil dengan meminimumkan peranan orang tengah seterusnya memastikan harga terbaik untuk pengguna dan margin yang lebih tinggi untuk petani.

 

“Teknologi serupa harus digunakan untuk tanaman lain di Malaysia terutamanya padi. Walaupun kita merupakan pengguna beras utama, Malaysia hanya berupaya menghasilkan sekitar 70% dari permintaan domestiknya manakala selebihnya diimport. 

 

“Sebenarnya, tahap keupayaan pengeluaran beras negara telah menurun sedikit dari 70% pada 2018 kepada 69% pada 2019. Krisis global seperti pandemik COVID-19 telah menunjukkan negara kita rentan terhadap isu keselamatan makanan apabila aktiviti perdagangan makanan ruji ini turut terganggu,” ujar beliau lanjut.

 

Menyedari keselamatan makanan merupakan isu nasional dan bukan sekadar peraturan yang diperkenalkan, katanya, MDEC turut mempunyai konsep yang terbukti berkesan dalam sektor pertanian. 

 

Ujar beliau, penerapan percubaan oleh MDEC terhadap teknologi pertanian 4IR sangat berjaya yang melibatkan pelbagai aktiviti pertanian seperti fertigasi pintar, penyemburan halus secara kabus pintar, akuakultur pintar, perternakan ayam pintar, pengairan pintar dan pemantauan tanah pintar. 

 

Beliau tidak menafikan bahawa teknologi pertanian itu telah meningkatkan produktiviti, kualiti dan pendapatan petani kecil lebih dari 20%, malah sebilangan besar petani menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan berjaya membawa hasil mereka ke pasaran. - DagangNews.com