Ketegangan Malaysia-Korea Utara turut pengaruhi pasaran | DagangNews Skip to main content

Ketegangan Malaysia-Korea Utara turut pengaruhi pasaran

Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. - Gambar Bloomberg

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan dengan lemah setelah dipengaruhi beberapa faktor di peringkat global, termasuk ketegangan geopolitik apabila Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. 

 

Indeks FBM KLCI susut 0.1% kepada 1,626.2 mata dengan 9.04 bilion saham diniagakan bernilai RM5.8 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 787 berbanding 347 manakala 417 kaunter tidak berubah.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bagaimanapun, kelemahan pasaran tempatan adalah sejajar dengan pasaran serantau Asia yang lain.

 

Ini berikutan rundingan peringkat tertinggi buat kali pertama antara Amerika Syarikat (AS) dan China sejak Presiden Joe Biden mengambil alih pentadbiran tidak berjalan dengan baik apabila masing-masing mengecam sesama sendiri hal berkaitan hak asasi manusia, perdagangan dan sekutu antarabangsa.

 

"Malaysia juga dalam masa sama berdepan ketegangan geopolitik apabila Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik susulan tuduhan yang dianggap 'tindakan bermusuhan yang sangat besar' selepas mahkamah tinggi memutuskan seorang lelaki warga Korea Utara diekstradisi ke AS atas tuduhan pengubahan wang haram," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

 

Kementerian Luar Pyongyang, menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'jenayah tidak boleh dimaafkan' yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.

 

Bagi prestasi bursa tempatan, Adam berkata, kerugian dalam indeks FBM KLCI diheret turun oleh Press Metal dan Genting Malaysia yang masing-masing diniagakan 3.5% lebih rendah manakala Sime Darby mendahului kaunter untung dengan menokok 5.4%. 

 

"Dalam kalangan sektor, indeks tenaga susut sehingga 3% di tengah-tengah kelembapan harga minyak yang kekal di bawah AS$65 setong," katanya. 

 

Mengulas mengenai pasaran pada minggu hadapan, beliau berkata, pelabur akan memerhati pergerakan hasil bon selepas penanda aras AS 10 tahun melonjak sehingga 11 mata asas kepada 1.75%, tertinggi sejak Januari 2020 pada Khamis. 

 

Di samping itu, People's Bank of China juga akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan yang mana para pelabur akan memantau sama ada bank pusat akan melaksanakan dasar monetarik yang lebih ketat memandangkan ekonomi semakin pulih.

 

"Indeks FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,605 hingga 1,625 mata," jelasnya. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, katanya, ringgit susut kurang daripada 0.5% untuk mencecah RM4.11 berbanding dolar AS disebabkan hasil bon AS semakin meningkat.

 

Pada minggu hadapan, katanya, ringgit diunjur diniagakan dalam julat antara RM4.10 hingga RM4.12 berbanding dolar AS bergantung kepada trajektor hasil bon. - DagangNews.com