Ketibaan pekerja asing hanya dibenarkan di KLIA, KLIA2 | DagangNews Skip to main content

Ketibaan pekerja asing hanya dibenarkan di KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR 22 Okt - Cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke negara ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 bagi memenuhi keperluan sektor perladangan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP tersebut akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara 'case-by-case basis' oleh Jawatankuasa Pekerja Asing yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.


Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini.

 

"Bagaimanapun kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

 

"Antara SOP yang ditetapkan adalah pekerja asing telah menerima vaksinasi lengkap yang diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan melakukan ujian saringan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum meninggalkan negara asal serta perlu mengemukakan sijil vaksinasi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat..

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ketibaan pekerja asing hanya melalui pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sahaja.

 

Beliau berkata, pengecualian diberikan terhadap pekerja asing Thailand iaitu kru vessel penangkapan ikan tempatan melalui laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Betong dan Rantau Panjang.

 

"Jika positif, mereka akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta bagi kategori satu dan dua manakala kategori tiga hingga lima perlu dirujuk ke hospital swasta," ujarnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sebaik tamat kuarantin dan disahkan negatif, pekerja asing akan dibawa ke premis majikan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan majikan. - DagangNews.com