Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Julai - Program vaksinasi yang berjalan lancar dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan menjadi faktor penting untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis kesihatan yang amat sukar ini.
Namun, ketidaktententuan politik yang semakin tegang, akan menjejaskan keberkesanan usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 setelah berlarutan sejak tahun lalu.
Menurut Kenanga Research, apabila Parlimen kembali bersidang, parti pembangkang akan mengusulkan undi tidak percaya, yang mana ini memberi impak negatif kepada situasi politik yang semakin rapuh.
"Malah, keadaan ini juga akan terus menjejaskan keyakinan di mata pelabur," katanya dalam nota kajian hari ini.
Parlimen dijangka bersidang secara hibrid pada akhir Ogos atau awal September setelah usul itu diterima dalam sidang Parlimen Khas, yang dijadualkan untuk disambung semula setelah berakhirnya darurat pada 1 Ogos, dengan anggapan ia tidak dilanjutkan lagi.
Firma itu turut mendapati, pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan sehingga Jun 2021 yang menandakan tempoh 24 bulan berturut-turut berlaku aliran keluar.
Di sebalik, penarafan semula S&P Global Ratings terhadap profil kredit berdaulat Malaysia, tetapi secara dasarnya, agensi penarafan masih mengekalkan prospek negatif bagi tempoh jangka masa panjang.
"Keadaan ini ditambah pula dengan penarafan terhadap hutang negara yang mungkin berdepan penurunan sekiranya ketidakstabilan politik di negara ini semakin memuncak," katanya.
Pada Jun lalu, S&P mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada 'A-' dan 'A' dengan tinjauan negatif.
Menurut Kenanga Research, ekonomi di peringkat domestik akan sedikit terjejas dengan penguatkuasaan PKPD dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, seperti di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Pada suku ketiga, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak turun kepada 6.4% berbanding 6.9% sebelum itu.
"Namun, ekonomi pada suku berkenaan, dijangka merekodkan pertumbuhan kukuh didorong prospek lebih baik pada separuh kedua berbanding separuh pertama 2021," katanya.
Bagi separuh kedua, firma itu mengunjurkan KDNK berkembang 6% berbanding 5.1% pada separuh pertama.
Untuk keseluruhan tahun, KDNK turut disemak semula kepada 5 hingga 6% berbanding unjuran sebelum itu, 6 hingga 7%, lebih rendah daripada unjuran Kementerian Kewangan, antara 6.5 hingga 7.5%.
Ini disebabkan tempoh PKP yang berlanjutan dan kenaikan kadar jangkitan COVID-19.
Setakat semalam, kes jangkitan kembali melonjak kepada 6,988 kes dengan Selangor masih berada di atas dengan 2,885 kes diikuti Kuala Lumpur, 988 kes dan Negeri Sembilan, 692 kes.
Situasi tersebut mendorong penguatkuasaan PKPD di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 3 Julai ini.- DagangNews.com