Ketidaktentuan pandemik, unjuran pendapatan FY22 Superlon disemak lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan pandemik, unjuran pendapatan FY22 Superlon disemak lebih rendah

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan Superlon Holdings Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 24% kepada RM10.5 juta selepas mengambil kira kos operasi yang lebih tinggi.

 

Malah, firma itu juga optimis tetapi berhati-hati dengan permintaan eksport kumpulan, justeru, menyemak turun anggaran pendapatan bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 20% kepada RM12.7 juta dan RM14.1 juta. 

 

Katanya, sebagai syarikat berorientasikan eksport, penularan wabak COVID-19 yang semakin buruk di peringkat global akan terus menjejaskan permintaan produk kumpulan yang sudah pun berdepan tekanan akibat kos penghantaran yang tinggi.

 

"Harga bahan mentah dan kos pengangkutan dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat.

 

"Namun, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Superlon dengan risiko penurunan bergantung kepada ketidaktentuan dalam kadar tukaran asing dan kenaikan harga bahan mentah dan kos penghantaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

MIDF Research memperoleh harga sasaran baharu pada RM1.03 daripada RM1.08 sebelum ini memandangkan ia mula melancarkan penilaian untuk FY23.  

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2021, Superlon merekodkan hasil sebanyak RM23.3 juta, meningkat sedikit berbanding RM22.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Untung bersih bagaimanapun susut kepada RM1.06 juta daripada RM2.7 juta.

 

Superlon merekodkan untung bersih teras sebanyak RM3.3 juta dalam tempoh 6 bulan berakhir 31 Oktober 2021 yang mana berada jauh di bawah jangkaannnya, hanya 24% daripada anggaran penuh tahunan yang diramalkan.

 

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu pula susut 15.2% tahun ke tahun kepada RM42.4 juta disebabkan penguatkuasaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di pasaran utamanya dan kos penghantaran yang tinggi menyebabkan permintaan produknya menurun. 

 

Setakat 10.23 pagi ini, saham Superlon susut 2.5 sen atau 3.25% kepada 74.5 sen dengan 145,600 saham diniagakan. - DagangNews.com