Ketidaktentuan politik pengaruhi ringgit, dibuka rendah | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan politik pengaruhi ringgit, dibuka rendah

 

 


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Situasi politik dan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19 serta perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi dagangan ringgit pagi ini. 

 

Mata wang itu dibuka pada RM4.0130/0190 berbanding dolar AS, lebih rendah berbanding penutupan semalam, RM4.0080/0130

 

Penganalisis pasaran global Axi, Stephen Innes dalam laporan Bernama menjangkakan terdapat ketidakpastian ekoran perkembangan terbaharu dalam landskap politik negara dan kebimbangan terhadap kes COVID-19. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM3.9964 dan RM4.0032 manakala paras rintangan antara RM4.0166 dan RM4.0231.

 

Ringgit semalam mengukuh 0.17% didorong kenaikan harga minyak mentah. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, harga minyak meningkat untuk hari kedua dengan Brent dan WTI masing-masing menokok 1.31% kepada AS$54.30 setong dan 1.4% kepada AS$50.63 setong. 

 

"Kedua-dua harga minyak ini mencapai paras tertinggi sejak Februari 2020 apabila Arab Saudi mengumumkan pengurangan sukarela sebanyak 1 juta tong sehari pada Februari dan Mac selepas mesyuarat OPEC+," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dolar AS pula katanya meneruskan kerugian untuk hari ketiga berturut-turut, susut 0.04% kepada 89.403 selepas pilihan raya senat Georgia dimenangi calon Democrats yang kini mempunyai majoriti dalam Senat dan juga White House. - DagangNews.com