Ketidaktentuan projek Australia, Pulau Pinang boleh jejaskan prospek Gamuda | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan projek Australia, Pulau Pinang boleh jejaskan prospek Gamuda

Gamuda merekodkan untung bersih lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2021 berjumlah RM152.37 juta. - Gambar hiasan dari Facebook Gamuda

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Gamuda Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah RM2.80 di sebalik prestasi kewangan suku pertama yang berada dalam jangkaannya. 

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2021, syarikat pembinaan itu mencatat keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM152.37 juta daripada RM110.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Sebaliknya,
perolehan susut kepada RM747.11 juta daripada RM763.95 juta.

 

Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, meskipun Gamuda memiliki rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh, tetapi ketidaktentuan mengenai prospek projek di Australia dan penambakan Penang South Island (PSI) boleh menjejaskan pendapatannya. 

 

Katanya, buat masa ini nilai projek pembinaan semasa Gamuda masih berada di paras rendah sekitar RM3.8 bilion.

 

"Sekiranya Gamuda gagal untuk meraih mana-mana projek di Australia dan memulakan kerja-kerja penambakan PSI pada akhir 2022, pendapatan pembinaan akan menyaksikan penurunan ketara pada tahun kewangan 2023 (FY23)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi projek di Australia, pengumuman tender akan dikeluarkan 2 bulan lagi membabitkan pembangunan Sydney Metro West (SMW) Western Tunnel dan SMW Airport Link yang mana pengurusan berharap dapat memperoleh salah satu daripada projek tersebut. 

 

Selain itu, Gamuda dan Ferrovial juga disenaraipendek bagi projek lebuh raya Coff Harbour di New South Wales, Australia yang mana tendernya akan dikeluarkan pada pertengahan 2022 dan dianugerahkan pada akhir tahun. 

 

Untuk projek PSI pula, kerja-kerja penambakan hanya akan bermula paling awal pada separuh kedua tahun hadapan. 

 

Gamuda ketika ini sedang mengemaskini laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang akan dikemukakan pada suku pertama 2022 dan kelulusan hanya akan diketahui dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas penyerahan. 

 

"Walaupun, pihak pengurusan optimis dengan hasil yang mengalakkan, tetapi tumpuan kami adalah kepada tempoh masa permulaan projek ini dan hasil kelulusannya.

 

"Ini kerana projek berkenaan telah pun berdepan dangan 2 halangan sejak tahun lalu, termasuk kekurangan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan dikehendaki menyerahkan semula EIA memandangkan penambakan Penang South bukan sebahagian daripada Pelan Struktur Pulau Pinang 2030," jelasnya. 

 

Buat masa ini, Kenanga Research tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan bagi FY22/FY23 kerana telah mengambil kira pelaksanaan kerja-kerja penambakan PSI bermula akhir FY22 dan Gamuda memenangi bidaan salah satu projek di Australia pada pertengahan tahun hadapan. 

 

Projek MRT3 pula masih menanti kelulusan Kabinet berhubung model dana pembiayaan inisiatif kewangan swasta (PFI)/kerjasama awam-swasta (PPP) yang mana pengurusan menjangkakan tendernya akan dikeluarkan pada suku ketiga 2022.

 

"Dalam anggaran FY23, kami tidak mengambil kira sebarang sumbangan pendapatan daripada MRT3 berikutan keadaannya yang tidak berubah," katanya. 

 

Setakat 9.32 pagi ini, saham Gamuda susut 2 sen atau 0.68% kepada RM2.90 dengan 87,500 saham diniagakan. - DagangNews.com