Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Ketidaktentuan rancangan rangsangan fiskal dengan tarikh pilihan raya di Amerika Syarikat (AS) yang menjelang tiba mendorong pasaran saham Malaysia untuk dibuka lebih rendah hari ini.
Setakat 9.05 pagi, KLCI merudum 1.77 mata atau 0.12%, mencecah paras 1,516.34.
Bagaimanapun, Rakuten Trade Research menjangkakan terdapat minat yang berterusan terhadap pasaran luas memandangkan jumlah dagangan terus meningkat.
Dalam masa sama, saham berkaitan sarung tangan, penjagaan kesihatan dan pelitup muka akan menjadi tumpuan memandangkan kes COVID-19 terus meningkat dan ramai individu bekerja dari rumah.
“Oleh itu, kami menggalakkan para pelabur untuk memanfaatkan trend berkenaan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasaran hariannya.
Semalam, pasaran saham AS ditutup lebih rendah susulan ketidaktentuan rangsangan fiskal selain data ekonomi yang lebih kukuh ditonjolkan China.
Bagaimanaun, niaga hadapan Dow Jones melonjak sekali gus dijangka mampu mendorong sentimen pasaran saham serantau untuk bertambah baik.
Bagaimanapun, menurut Reuters, pasaran saham Asia hari ini berdepan tekanan dengan isu-isu yang sama dihadapi Bursa Malaysia.
Pada awal dagangan, saham Australia dibuka lebih rendah, manakala saham MSCI pula merosot 0.06%.
Niaga hadapan Nikkei 225 merudum 0.4% dan indeks niaga hadapan Hong Kong pula jatuh 0.59%. - DagangNews.com