KUALA LUMPUR 11 Mei - Kerana terlalu mengagumi tugas seorang jururawat yang memberi rawatan kepadanya ketika berada di wad semasa usia 15 tahun, membuatkan Thilakaveni A/P A Ramasamy berusaha untuk keluar daripada kehidupan susah dan memilih kerjaya jururawat apabila dewasa kelak.
Thila yang kini bertugas sebagai Ketua Pengurusan Kejururawatan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi, bukan mudah bagi seorang wanita yang menetap di kawasan estet menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi dan bekerja dalam bidang kesihatan yang dipelopori kaum lelaki.
Ujar beliau, ini kerana rata-rata masyarakat India akan mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia yang muda.
"Saya ada lima adik beradik dan semuanya perempuan. Jadi yang bongsu adalah saya, namun kakak saya semuanya dikahwinkan pada usia muda dan hanya belajar sehingga umur 12 tahun sahaja walaupun pandai dalam bidang pendidikan kerana ayah sangat susah ketika itu.
"Oleh itu, saya nekad untuk mengubah kehidupan keluarga kami dengan mengubah persepsi perempuan perlu berkahwin. Akhirnya, kejayaan ini membuahkan hasil, pada 1989 saya berjaya menjadi seorang jururawat," katanya.
Pada tahun tersebut, Thilakaveni ditugaskan sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Hulu Langat, dengan skop tugasan menjaga ibu mengandung dan kanak-kanak, menjaga pasukan sekolah, kemudian ditempatkan ke wad pembedahan selama 4 tahun serta memulakan perkhidmatan di UPM pada 2002 sehingga kini sebagai matron.
Beliau yang dibesarkan di estet Sungai Buaya, Banting, Selangor menyifatkan berkhidmat dalam sektor kesihatan bukan perkara mudah, kerana perlu menuntut pengorbanan luar biasa.
"Saya pilih untuk menjadi jururawat dan juga seorang ibu. Jadi kita perlu menghayati tugasan ini tanpa mengeluh walaupun kerja ini sangat sibuk dan kurang masa bersama ahli keluarga," katanya.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, antara rutin tugasnya adalah menguruskan anak-anak, mendidik mereka dalam pelajaran dan paling penting memasak setiap hari untuk anak-anak dari waktu sarapan sehingga ke makan malam, walaupun penat.
"Jika stress dan selalu mengeluh tidak cukup masa, buat sahaja yang terbaik kerana pengorbanan ini akan membuahkan hasil suatu hari nanti. Kalau kita terlalu beri alasan dan mengeluh tak cukup tidur, rehat, maka semua itu tidak dapat dilakukan kerana tidak mempercayai diri sendiri," katanya.
Kongsi Thila, kerjayanya paling getir sepanjang dua tahun apabila negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sebelum fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022.
"Waktu itu doktor dan jururawat semakin ramai dijangkiti namun diminta untuk terus bekerja apabila semakin ramai pesakit yang mengalami gejala memenuhi hospital serta klinik dan akan diingati sampai bila-bila," katanya yang bakal bersara pada Jun 2024.
Selama 34 tahun berkhidmat sebagai jururawat, beliau mengakui wujud dalam sanubarinya rasa komitmen yang menebal setelah menempuh pelbagai pengalaman serta bertemu pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau sama sekali tidak menyesal memilih kerjaya jururawat kerana disebalik tekanan serta pengorbanan, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi adalah sesuatu yang tidak ternilai.
Rata-rata pasukan jururawat di HPUPM menyatakan beliau sangat tegas ketika bertugas, tetapi hemahnya sentiasa santun dan juga menghiburkan dalam memastikan anak-anak buahnya kekal fokus dalam kerjaya yang melibatkan hidup mati manusia ini.
“Pesanan saya kepada semua jururawat, kita kena buat sebaik mungkin untuk pesakit, cintakan pekerjaan ini dan jalankan tanggungjawab untuk diberi kepada orang luar. Perasaan semasa menjaga pesakit kenalah sama.
“Setiap pesakit yang dijaga adalah keluarga kita,” katanya. - DagangNews.com