Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp bercuti secara sukarela bagi memudahkan siasatan SPRM | DagangNews Skip to main content

Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp bercuti secara sukarela bagi memudahkan siasatan SPRM

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Corporation Bhd (HRD Corp) Datuk Shahul Hameed Dawood menawarkan diri untuk mengambil cuti sementara bagi memudahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Khamis, beliau berkata sepanjang ketiadaannya, pertubuhan itu akan terus menjalankan semua proses seperti biasa dan operasi akan berjalan lancar bagi memastikan tiada gangguan kepada perkhidmatan.

 

"Namun begitu, saya tetap komited kepada HRD Corp. Terima kasih atas sokongan anda selama ini," katanya.

 

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan RM3.77 bilion kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk pelbagai aktiviti pelaburan.

 

PAC juga meminta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membentangkan penemuan audit bebas ke atas HRD Corp kepada mereka menjelang September.

 

 

Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
                          Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi

 

 

Selain itu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam pengauditan.

 

Wan Suraya berkata terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat, dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp atas penyelewengan yang dikenal pasti.

 

Susulan itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengarahkan Setiausaha Agung Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp membuat laporan kepada SPRM. - DagangNews.com