Ketua Pemuda UMNO Sabah pula letak jawatan Pengarah Boustead Plantation  | DagangNews Skip to main content

Ketua Pemuda UMNO Sabah pula letak jawatan Pengarah Boustead Plantation 

Ir Abdul Aziz Julkarnain

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ir Abdul Aziz Julkarnain meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Boustead Plantation Bhd., menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Jelas syarikat itu, peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa 5 Ogos 2021 kerana beliau mahu meneruskan perkara lain. 

 

"Abdul Aziz, 43, sebelum ini dilantik ke jawatan tersebut pada 1 September 2020.

 

"Selain itu, beliau juga memegang beberapa jawatan di beberapa organisasi lain ketika ini termasuklah Pengarah Urusan TRH Builders Sdn. Bhd., Pengarah Urusan Hashim & Julkarnanin Perunding Sdn. Bhd., Pengarah Kumpulan MYIB dan Penyelaras Projek Intiutama Sdn. Bhd.," katanya. 

 

Setakat 3.09 petang ini, saham Boustead Plantation susut 0.05 sen kepada 56 sen dengan 1.99 juta saham diniagakan.

 

Abdul Aziz juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Sabah.

 

Peletakan jawatan itu dilihat senada dengan tindakan yang diambil Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Boustead Holding Berhad secara sah semalam.

 

Sebelum ini, Khaled yang juga Naib Presiden Umno menyifatkan tindakan itu sebagai mengambil tanggungjawab selaku ahli yang terus akur serta hormat dengan sebarang keputusan dan ketetapan parti. 

 

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian Majlis Tertinggi (MT) untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. - DagangNews.com