Ketua Perangkawan pertama Datuk Ramesh Chander meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Ketua Perangkawan pertama Datuk Ramesh Chander meninggal dunia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menzahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian bekas Ketua Perangkawan, Datuk Ramesh Chander, 88, yang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 14 November 2023 pada pukul 2.50 pagi.

 

Mendiang merupakan individu pertama yang menyandang gelaran sebagai Ketua Perangkawan Malaysia selepas kemerdekaan bermula 1 Januari 1966 sehingga 31 Disember 1977. 

 

Mohd. Uzir berkata, sepanjang 11 tahun menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia, mendiang berjaya membangunkan sistem perangkaan yang masih digunakan sehingga kini. 

 

"Antara jasa mendiang ialah mempelopori penggunaan tinjauan isi rumah bersepadu  untuk pengumpulan maklumat bagi menganalisis kemiskinan dan penyusunan petunjuk sosio-ekonomi. 

 

"Disamping itu, mendiang juga merupakan Pesuruhjaya Banci  pertama dan telah melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan selepas merdeka  pada tahun 1970. 

 

"Mendiang juga terlibat dalam membangunkan rangka kerja untuk pemantauan sasaran dan matlamat Dasar Ekonomi Baru," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mendiang Ramesh juga sebelum ini sangat aktif dalam menonjolkan peranan Jabatan Perangkaan di rantau asia dan juga antarabangsa dengan menyandang jawatan Pengerusi Persidangan Ahli Perangkaan Asia selain terpilih ke Suruhanjaya Perangkaan PBB selain beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi dari 1972 hingga 1976.

 

Selain itu mendiang juga penah mewakili Malaysia di Persidangan Perangkawan Komanwel, menjadi Ahli pengasas Institut Statistik untuk Asia dan Pasifik (SIAP) untuk melatih kakitangan statistik dari semua negara di rantau ini selain berkhidmat sebagai ahli Majlis Tadbir Institut dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Kajian Kesuburan Dunia.

 

Sehingga diakhir usia, mendiang masih aktif memperjuangkan statistik dalam komuniti pencinta statistik dengan menghadiri forum, seminar dan sesi dialog seperti Webinar :Counting Everyone For A Better Tomorrow (7 Julai 2020), Seminar Statistik Kependudukan (14 Februari 2022), dan Corruption In Malaysia : Who Will Bell The Cat (28 April 2021). - DagangNews.com