Keuntungan bersih 3Q Hibiscus Petroleum melonjak kepada RM307.54 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih 3Q Hibiscus Petroleum melonjak kepada RM307.54 juta

Aset semasanya meningkat kepada RM993.5 juta pada 31 Mac 2022, daripada RM659.6 juta pada 30 Jun 2021. 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2022, melonjak kepada RM307.54 juta daripada RM32.03 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, susulan harga minyak tinggi dan kos operasi rendah.

 

Kumpulan eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas itu merekodkan hasil sebanyak RM297.06 juta meningkat daripada RM215.98 juta sebelumnya. 

 

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen bagi setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022, yang perlu dibayar pada 22 Julai, 2022. 

 

Hibiscus Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata sejumlah  471,973 tong minyak mentah dijual pada suku semasa terdiri daripada 300,252 tong minyak mentah daripada Sabah Utara, 74,304 tong daripada Anasuria Cluster dan 97,417 tong daripada aset yang baru diambil alih, iaitu PM3 CAA (Kawasan Pengaturan Komersial) dan PM305 serta PM314, kedua-duanya di Malay Basin.

 

Syarikat itu berkata segmen Sabah Utara merekodkan hasil dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak RM113.1 juta dan RM80.7 juta pada suku ketiga. 

 

Sementara itu, aset semasanya meningkat kepada RM993.5 juta pada 31 Mac 2022, daripada RM659.6 juta pada 30 Jun 2021, Bernama melaporkan. 

 

Pada masa hadapan, Hibiscus Petroleum berkata sebagai pengendali bersama Anasuria Cluster dan pengendali North Sabah, PM3 CAA, Kinabalu, PM305, PM314 dan Block 46, ia akan terus menumpukan kepada mengoptimumkan prestasi aset. 

 

"Namun begitu perlu juga dinyatakan  bahawa prestasi kami terkesan setiap hari daripada faktor makroekonomi luaran yang mana kami menggunakan kawalan minimum. 

 

"Keseluruhannya, kami terus menumpukan untuk menyediakan prestasi optimum dalam persekitaran harga minyak tinggi,” katanya. - DagangNews.com