Keuntungan bersih Pavilion REIT pada 1HFY23 dan DPU dalam jangkaan, unjuran pendapatan dikekalkan – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Pavilion REIT pada 1HFY23 dan DPU dalam jangkaan, unjuran pendapatan dikekalkan – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Keuntungan bersih Pavilion REIT pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) dan pengagihan seunit (DPU) dalam jangkaan Kenanga Research, merangkumi 47% daripada ramalan tahun penuhnya dan konsensus.

 

Syarikat amanah pelaburan hartanah itu telah mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM132.9 juta dan DPU 0.76 sen (setakat ini bagi 2023: 4.41 sen) pada 1HFY23.

 

Susulan keputusan 1HFY23, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23 dan FY24 dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham.

 

“Kami percaya harga saham semasa mencerminkan portfolio aset runcit premiumnya di bawah nilai, di mana kami menganggap perbelanjaan pengguna mungkin kurang terdedah kepada tekanan inflasi,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai prospek Pavilion REIT, firma itu berkata penambahan Pavilion Bukit Jalil ke dalam portfolionya boleh menjadi penyumbang bermakna kepada kumpulan itu, walaupun dengan kos pinjaman yang lebih tinggi.

 

“Pavilion Bukit Jalil kini merupakan aset aktif dalam portfolio Pavilion REIT, dengan nisbah penyewaan secara beransur-ansur meningkat sehingga kira-kira 85%.

 

“Kami menjangkakan ini menjadi paras tertinggi terkininya sejak pelancaran pada akhir 2021,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, aset utama kumpulan di Pavilion KL dijangka mengalami kadar penghunian yang menggalakkan (kira-kira 95%) kerana lokasi utamanya sangat diminati oleh peruncit kelas atas, katanya.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata bilangan penghunian mungkin mengalami sedikit kekangan dalam tempoh terdekat berikutan penyewa berprofil tinggi tertentu berpindah ke tempat lain.

 

Sementara itu, aset kumpulan yang kerugian, Da Men Mall, sedang berusaha kuat untuk meningkatkan nisbah penyewaannya lebih hampir kepada 80%, yang mungkin memberi pulangan modal daripada 72% pada masa ini.

 

“Kumpulan itu berharap dapat mencapai matlamat ini menjelang 2025 dengan kemungkinan penjenamaan semula pusat beli-belah tersebut untuk memperbaharu imejnya,” katanya.

 

Pada waktu rehat tengahari, saham Pavilion ditutup naik 1 sen atau 0.8% kepada RM1.23 dengan permodalan pasarannya bernilai RM4.49 bilion. - DagangNews.com