KUALA LUMPUR 2 Mac - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mencatatkan keuntungan daripada operasi berjumlah RM670 juta pada 2021, lebih rendah berbanding RM2.9 bilion pada 2020.
Penyusutan keuntungan ini disebabkan bantuan kewangan berterusan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat dalam sektor penerbangan dan pelancongan miliknya yang berhadapan dengan cabaran akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, ia juga dipengaruhi oleh perolehan nilai saksama yang lebih rendah serta pendapatan dividen yang berkurangan daripada syarikat-syarikat pelaburannya akibat pendapatan yang lemah pada 2020.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, pertumbuhan Nilai Aset Bersih (NAV) Khazanah meningkat kepada RM86 bilion berbanding RM79 bilion pada tahun sebelumnya.
Sayap pelaburan negara itu telah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah RM8.7 bilion pada 2021, dengan sebahagian besar daripadanya dilaburkan di Malaysia sebanyak RM3.6 bilion atau 41.7% yang berjaya memperoleh RM4.8 bilion hasil daripada pengewangan aset dalam portfolionya.
Dalam pada itu, Khazanah terus mengekalkan disiplin kewangannya yang menyaksikan perbelanjaan mengurus (OPEX) berjaya dikurangkan kepada RM420 juta daripada RM490 juta pada 2020.
Kedudukan hutangnya meningkat sedikit kepada RM48 bilion daripada RM43 bilion pada tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) berbanding nisbah hutang kekal pada kedudukan yang baik pada 2.8 kali ganda.
Di sebalik prestasi mencabar pada tahun lalu, Khazanah telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM2 bilion kepada kerajaan.
Mengulas mengenai prestasi Khazanah, Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dalam kenyataan hari ini berkata, meskipun berdepan cabaran akibat sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi yang berkurangan di peringkat global, Khazanah tetap berjaya mencipta nilai, menjana pulangan pelaburan yang kukuh dan meningkatkan NAV sebanyak RM7 bilion.
Khazanah juga, katanya meneruskan usaha pengimbangan semula portfolio ke arah mencapai kedudukan portfolio yang lebih pelbagai serta melaksanakan usaha untuk menyokong syarikat pelaburannya yang terjejas akibat COVID-19 terutama dalam sektor penerbangan dan pelancongan.
"Dua tahun kebelakangan ini adalah sangat mencabar bagi kami untuk mengemudi pasaran yang tidak menentu dan kesan sosial dan ekonomi daripada pandemik yang melanda.
"Kita harus terus bersama dan mengambil peluang ini untuk melakar laluan ke arah pertumbuhan, bagi membolehkan kita bangkit kembali dalam keadaan yang lebih kukuh sebagai sebuah negara," katanya.
Beliau turut mengumumkan strategi jangka panjang Khazanah yang menguatkan lagi komitmen dana kekayaan berdaulat berkenaan untuk memajukan ekonomi Malaysia serta rakyatnya menerusi Dana Impak.
Ia merupakan peruntukan baharu yang diwujudkan bagi memacu sektor pertumbuhan baharu, memainkan peranan yang lebih aktif sebagai institusi kepengurusan, memanfaatkan rangkaian globalnya untuk memudahkan aliran pengetahuan dan peluang pelaburan ke Malaysia, serta mewujudkan nilai kemasyarakatan untuk rakyat Malaysia.
Meskipun berhadapan dengan situasi yang mencabar, Khazanah telah meraih beberapa pencapaian ketara
termasuk penyelesaian proses penstrukturan semula Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) yang
menyaksikan pengurangan liabiliti sebanyak RM15 bilion.
Usaha penstrukturan tersebut membolehkan MAGB menjadi lebih kukuh dari segi kewangan mempersiapkan syarikat penerbangan tersebut untuk meneruskan operasinya apabila aktiviti perjalanan udara pulih kelak.
Khazanah turut memberikan sokongan kepada aset-aset pembangunan miliknya seperti Themed Attractions Resorts & Hotels (TARH) dan Iskandar Malaysia menerusi suntikan modal pada 2021 dan kini bekerjasama dengan pengurusan syarikat-syarikat tersebut untuk membangunkan dan melaksanakan strategi bagi pemulihan dan kemampanan perniagaan. - DagangNews.com