BNM dan SC lancar perkhidmatan ombudsman pasaran kewangan, sediakan rumusan pantas kepada pelabur | DagangNews Skip to main content

BNM dan SC lancar perkhidmatan ombudsman pasaran kewangan, sediakan rumusan pantas kepada pelabur

(Dari kiri) Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi; Pengerusi FMOS, Tan Sri Foong Cheng Yuen dan Timbalan Gabenor BNM, Datuk Jessica Chew Cheng Lian merasmikan pelancaran Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) hari ini di Sasana Kijang.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS), pusat rumusan pertikaian yang berperanan sebagai alternatif kepada sistem kehakiman menerusi pengantaraan dan adjudikasi yang bebas dan adil.

 

Proses penyelesaian pertikaian yang diperkemas dan konsisten ini juga akan membolehkan rumusan yang lebih pantas dan telus untuk para pengguna dan pelabur.

 

Bank pusat itu berkata, FMOS ialah gabungan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dengan Securities Industry Dispute Resolution Center (SIDREC). 

 

"Selaras dengan fungsi OFS dan SIDREC, FMOS menawarkan rumusan bagi memperkemaskan sistem pengantaraan untuk pengguna dan pelabur kewangan di seluruh negara.

 

"Pengawasan secara bersama oleh BNM dan SC ini akan membantu FMOS beroperasi dengan lebih berkesan menerusi penyelarasan piawaian pengawalseliaan dan pada masa yang sama melindungi kepentingan pengguna, pelabur dan industri kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, penubuhan FMOS mencerminkan komitmen berterusan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan penyelesaian pertikaian. 

 

"Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna tetapi juga memantapkan integriti dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, yang akhirnya menyumbang kepada ekosistem kewangan yang lebih kukuh dan diyakini,” katanya. 

 

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata FMOS memudahkan proses penyelesaian bagi pengguna dan pelabur kewangan dengan menyediakan platform sehenti yang diyakini. 

 

"Langkah ini amat penting terutamanya ketika pasaran kewangan dan modal semakin sukar dibezakan. 

 

"FMOS turut menggalakkan piawaian dan keputusan yang konsisten, lantas mengukuhkan lagi keyakinan terhadap sistem ini,” katanya. 

 

Susulan trend nilai purata transaksi kewangan oleh pengguna yang meningkat, BNM telah memperkemas had monetari pertikaian yang layak yang melibatkan akaun atau transaksi kewangan kepada RM250,000. 

 

Had ini memperluas skop perlindungan dan memastikan lebih banyak pengguna dapat mengakses perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara percuma. 

 

Langkah ini selaras dengan had monetari yang layak dan sedia ada bagi pertikaian yang melibatkan akaun dan transaksi pelaburan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan pasaran modal bawah pengawalseliaan SC. 

 

Perubahan ini selaras dengan komitmen FMOS untuk membuat penyesuaian dengan landskap kewangan berkembang, iaitu nilai transaksi atau nilai akaun mungkin lebih tinggi.- DagangNews.com