KUALA LUMPUR 29 Ogos - Leon Fuat Bhd. merekodkan pendapatan sebanyak RM250.93 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 35.8% berbanding RM184.78 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) susut 56.3% kepada RM14.02 juta bagi tempoh itu daripada RM32.12 juta.
Bagi suku dalam tinjauan, segmen dagangan menyumbang 38.4% kepada hasil jualan manakala segmen pemprosesan menyumbang 61.5%.
Untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Leon Fuat mencatatkan peningkatan hasil jualan 32.2% kepada RM523.95 juta berbanding RM396.26 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala PAT menurun 44.4% ke RM37.91 juta berbanding RM68.23 juta.
Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata, kumpulan menyaksikan hasil jualan keseluruhan yang lebih tinggi dengan peningkatan sumbangan daripada perdagangan dan pemprosesan produk keluli.
Namun, katanya, gabungan margin keuntungan kasar keseluruhan yang lebih rendah dan susut nilai inventori sebanyak RM13.88 juta pada suku semasa apabila inventori tertentu ditimbang dengan anggaran nilai boleh direalisasikan menyebabkan kelemahan keuntungan.
“Prospek ekonomi global kekal tidak menentu berikutan gabungan faktor penguncupan China, perang Rusia-Ukraine dan dasar monetari yang lebih ketat sebagai respon kepada inflasi.
"Walaupun ekonomi domestik setakat ini telah mengharungi cabaran dengan gabungan eksport yang berdaya tahan dan penggunaan swasta, ketidaktentuan kekal kerana potensi risiko daripada gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi yang menyebabkan tekanan inflasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kumpulan berwaspada terhadap prospek untuk suku-suku tahun ini yang akan datang memandangkan cabaran-cabaran tersebut terutamanya dengan kemerosotan harga keluli dan mata wang ringgit yang lebih lemah. - DagangNews.com