Keuntungan S P Setia melonjak lebih 3 kali ganda kepada RM75 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan S P Setia melonjak lebih 3 kali ganda kepada RM75 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Syarikat pembangunan hartanah, S P Setia Berhad menyaksikan keuntungan bersih kumpulan bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) yang berakhir 31 Mac lalu melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM75.23 juta. 

 

Jumlah itu meningkat daripada RM24.09 juta keuntungan bersih yang dicatatkan pada suku sama bagi FY20, menurut S P Setia dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Menerusi kenyataan lain, S P Setia mengumumkan hasil kumpulan juga melonjak daripada RM702.66 juta kepada RM1.05 bilion dipacu oleh kadar pengambilan projek yang lebih baik.

 

“S P Setia mencatatkan prestasi jualan yang kukuh berjumlah RM1.19 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021. 

 

“Projek tempatan menyumbang sebanyak RM923 juta atau kira-kira 78% daripada jualan, manakala selebihnya berjumlah RM256 juta atau kira-kira 22% disumbangkan oleh projek antarabangsa terutamanya daripada Daintree Residence, di mana permintaan bagi hartanah kediaman di Singapura menyaksikan peningkatan baru-baru ini,” jelas S P Setia. 

 

Di peringkat tempatan, jualan S P Setia terutamanya dipacu oleh kawasan Lembah Klang pada kadar RM705 juta, diikuti oleh kawasan Selatan (RM148 juta) dan Utara (RM74 juta).

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen berkata, kumpulan itu mempergiatkan lagi usaha pemasarannya untuk meraih lebih banyak jualan sebelum Kempen Pemilikan Rumah 2020 berakhir Mei 2021. 

 

Dalam pada itu, katanya, S P Setia turut melancarkan hartanah bertanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM525 juta. 

 

“Sejajar dengan strategi perniagaan bagi FY21, kami telah melengkapkan inventori bernilai RM206 juta dalam tempoh berkenaan. Kami akan terus memberi tumpuan untuk melengkapkan inventori di samping melancarkan produk berdasarkan permintaan baharu di kawasan perbandaran kami yang matang.

 

“Kumpulan juga meraih tempahan sebanyak RM1.29 bilion dan keutamaannya adalah untuk menukarkan tempahan ini ke dalam jualan dengan segera dan berharap disokong oleh proses pembiayaan akhir yang lebih cepat,” katanya.

 

Dari segi prospek, kumpulan terus optimis, namun berhati-hati terhadap momentum kemampanan pasaran memasuki separuh kedua FY21 (2HFY21) terutamanya dengan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara. 

 

Walau bagaimanapun, S P Setia yakin prospek ekonomi diunjurkan bertambah baik dipacu oleh program vaksinasi di seluruh negara yang akan merancakkan ekonomi terutamanya dalam pasaran hartanah tempatan. 

 

Setakat 31 Mac 2021, kumpulan mempunyai 47 projek yang sedang berjalan dengan baki jumlah tanah dalam pegangan sebanyak 8,513 ekar pada kadar GDV, RM135.7 biliion. - DagangNews.com