Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov - Cadangan pelaksanaan Cukai Makmur dan kenaikan levi keuntungan sawit dijangka memberi impak negatif kepada pendapatan syarikat perladangan di negara ini bagi tahun kewangan 2022, menurut CGS-CIMB.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit tahun depan daripada RM2,500 kepada RM3,000 bagi Semenanjung Malaysia manakala RM3,000 kepada RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak.
Kadar levi 2 negeri berkenaan turut diselaraskan kepada 3% seperti kadar levi di Semenanjung Malaysia.
Dalam nota kajian, CGS-CIMB berkata, purata harga minyak sawit mentah meningkat 11% bulan ke bulan dan 69% tahun ke tahun ke paras tertinggi sebanyak RM5,051 satu tan metrik pada Oktober 2021 kerana bekalan minyak boleh dimakan jatuh di bawah jangkaan.
Firma itu mengunjurkan harga minyak sawit mentah kekal kukuh sekitar RM4,000 hingga RM5,000 satu tan metrik pada November 2021.
"Sekiranya pendapatan melebihi RM100 juta, mereka akan dikenakan Cukai Makmur, yang dilihat menjejaskan keuntungan syarikat perladangan.
"Bagi keuntungan levi luar biasa, ia turut memberi kesan kepada pengeluar minyak sawit di Sabah dan Sarawak apabila harga minyak sawit melebihi paras RM4,000 satu tan metrik.
"Tetapi, ini sebahagiannya akan diimbangi dengan kelulusan kerajaan baru-baru ini untuk membawa masuk pekerja asing seramai 32,000 orang," katanya hari ini.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan negara.
Sementara itu, kaji selidik yang dijalankan CGS-CIMB Futures mendapati pengeluaran Oktober susut 1.2% bulan ke bulan manakala jumlah eksport mungkin susut 13% bulan ke bulan.
"Kami juga menganggarkan inventori minyak sawit meningkat 3.5% bulan ke bulan dan 14.9% tahun ke tahun kepada 1.81 juta tan metrik setakat akhir Oktober 2021," jelasnya.
Data rasmi mengenai prestasi minyak sawit Malaysia akan dikeluarkan 10 November ini. - DagangNews.com