KUALA LUMPUR 15 April – Pemulihan keyakinan pengunjung kompleks membeli belah terutamanya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ serta pembukaan sempadan negara pada awal bulan ini ternyata membuahkan hasil bagi pengendali kompleks membeli-belah.
Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, kunjungan pelawat ke kompleks membeli belah selalunya berkurangan dengan ketara selepas sambutan Tahun Baru Cina, namun kali ini, jumlah kunjungan semakin meningkat.
"Dengan pembukaan sempadan mulai awal bulan ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kami berharap untuk melihat lebih ramai pelancong masuk dan membeli belah, terutamanya untuk pusat beli-belah di negeri Johor.
"Ketika ini kadar penghuni semasa di seluruh negara berjulat dari 50 peratus hingga ke 90 peratus bergantung pada lokasi pusat membeli belah," beliau memberitahu DagangNews.
Mengulas mengenai kadar sewa pusat membeli belah, kadar sewa adalah bergantung kepada rundingan antara penyewa kedai dan pengusaha kompleks membeli belah, dan ia selalunya dipengaruhi oleh sektor dan barangan yang ditawarkan, oleh itu pelarasan kadar sewa perlu disesuaikan dengan sewajarnya," jelas beliau lagi.
"Tetapi secara umumnya, tiada diskaun kadar sewa jika perniagaan sudah dibenarkan beroperasi tanpa sekatan," ujar Teo yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah 1 Utama.
Beliau turut menyatakan bahawa pusat beli-belah telah pun beroperasi sepenuhnya sejak hampir semua sektor dibenarkan dibuka semula mulai September 2021 dan promosi serta pemasaran sedang giat dijalankan.
Mengulas mengenai penutupan pusat beli belah disebabkan pandemik COVID-19, Teo berkata beberapa gedung serbaneka telah ditutup, sebagai contoh Robinsons di The Gardens, Isetan di 1Utama dan Parkson di KLCC.
"Tetapi pada masa yang sama terdapat dua pusat membeli-belah terkini, LaLaPort (Metrojaya) dan Pavilion Bukit Jalil (Parkson).
"Sehingga kini, tiada pusat beli-belah yang ditutup walaupun terdapat pusat membeli-belah masih mencari peruncit dan peniaga untuk masuk dan menarik semula kunjungan ke pusat beli belah, bagaimanapun ia sekali lagi bergantung pada lokasi pusat beli belah ini," jelas beliau.
Industri runcit negara mengunjurkan pertumbuhan jualan sebanyak enam peratus tahun ini daripada anggaran pertumbuhan 0.5 peratus pada 2021 dan pertumbuhan perlahan diramalkan untuk amanah pelaburan hartanah runcit (REITs), yang portfolio asetnya terdiri terutamanya pusat beli-belah.
REITs ini telah mengalami kemerosotan mendadak dalam pendapatan boleh agih sepanjang dua tahun yang lalu dan mungkin mengambil sedikit masa untuk bangkit semula dan mendapatkan kembali pendapatan sewa yang hilang. – DagangNews.com