Keyakinan rakyat Malaysia terhadap ekonomi merosot, hanya 35% percaya kehidupan mereka lebih baik dalam 5 tahun - kaji selidik Edelman | DagangNews Skip to main content

Keyakinan rakyat Malaysia terhadap ekonomi merosot, hanya 35% percaya kehidupan mereka lebih baik dalam 5 tahun - kaji selidik Edelman

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kajian tahunan yang dijalankan oleh firma komunikasi Edelman akhir tahun lepas menunjukkan hanya 35% daripada responden di Malaysia yakin bahawa ekonomi diri dan keluarga akan lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Menerusi laporan Edelman Trust Barometer 2023 yang dikeluarkan pada Forum Ekonomi Dunia pada minggu lalu, didapati kepercayaan rakyat terhadap ekonomi negara menjunam 20% sejak edisi 2022 dan kini berada di paras terendah sepanjang masa untuk negara.

 

“Laporan tahun ini mendapati bahawa keyakinan ekonomi telah merosot di seluruh dunia (50% hingga 40%), dengan keyakinan terhadap ekonomi keluarga yang lebih baik dalam tempoh lima tahun telah menurun dua angka dari tahun ke tahun di separuh daripada negara yang ditinjau,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini seperti dilapor MalayMail.

 

Di dalam kenyataan yang sama, negara maju juga tidak mempunyai lebih 36% untuk segmen yang sama dan keyakinan rakyat di 25 daripada 28 negara yang ditinjau turut jatuh ke paras terendah sepanjang masa termasuk Amerika Syarikat (36%), United Kingdom (23%), Jerman (15%) dan Jepun (9%).

 

Berdasarkan laporan itu, Malaysia mencatatkan kemerosotan kedua terbesar dalam kepercayaan terhadap ekonomi negara, manakala Colombia merekodkan kemerosotan 22%. Bagaimanapun, rakyat Colombia memperlihatkan peratusan yang lebih tinggi (sebanyak 61%) optimis terhadap ekonomi negara.

 

Dari segi kepercayaan terhadap ekonomi, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam kalangan 28 negara yang dikaji tahun ini untuk kategori tersebut – diletakkan antara Ireland (31%) dan Singapura (36%). Malaysia juga merupakan yang paling pesimis dalan kalangan negara membangun.

 

Tiga negara teratas yang paling dipercayai penduduk tempatan terhadap ekonomi adalah Kenya (80%), Indonesia (73%) dan India (73%) manakala tiga negara terendah adalah Jepun (9%), Perancis (12%) dan Jerman (15%).

 

Kerja lapangan untuk kajian Edelman ini dijalankan antara 1 dan 28 November tahun lepas dengan purata 1,150 responden dalam tinjauan dalam talian dari setiap 28 negara yang dikaji.

 

Menurut Edelman, tinjauan dalam talian ini dijalankan setiap tahun sejak 23 tahun lalu dengan tinjauan untuk Malaysia dijalankan dalam bahasa Melayu.

 

Malaysia mengalami perubahan kerajaan tahun lalu yang menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah pada 24 November 2022 untuk mengetuai kerajaan campuran Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah. 

 

Semasa sambutan tahun baru, Anwar mengulangi ikrarnya untuk mengutamakan kebangkitan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup, dan beliau telah melancarkan pelan tindakan Malaysia Madani pada minggu lepas untuk pentadbirannya selaraskan semula hala tuju negara. – DagangNews.com