Khamis hari terakhir tol percuma Johor- Singapura, bayar seperti biasa 8 April 2022 | DagangNews Skip to main content

Khamis hari terakhir tol percuma Johor- Singapura, bayar seperti biasa 8 April 2022

KUALA LUMPUR 6 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan orang ramai bahawa tempoh pengecualian bayaran tol bagi pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan merentasi sempadan negara melalui plaza-plaza tol di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (LInkedua) akan berakhir 7 April 2022.

 

Sehubungan itu, bermula 8 April 2022 (Jumaat), semua operasi kutipan tol akan berjalan seperti biasa.

 

Oleh itu, pelanggan lebuh raya PLUS dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif dan mempunyai baki yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan yang lancar dan tidak terganggu apabila operasi kutipan tol tersebut bersambung.

 

Pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID untuk sistem VEP turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.

 

Untuk maklumat lanjut tentang tag RFID bayaran VEP, sila layari www.vep.jpj.gov.my.

 

Bagi pemandu Singapura yang bercadang menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka di Johor, mereka boleh berbuat demikian di 8 pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua.

 

Selain itu, terdapat banyak pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.

 

Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24-jam turut menyediakan perkhidmatan menambah nilai kad Touch ‘n Go.

 

Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.

 

Pelanggan lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun Aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan.


 

PLUS

 


Selain daripada itu, terdapat lebih daripada 120 orang anggota PLUSRonda di jajaran lebuh raya di negeri Johor. Anggota PLUSRonda sentiasa bersedia memberikan bantuan dan pertolongan di lebuh raya apabila diperlukan, 24-jam setiap hari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

 

PLUSRonda sentiasa bersedia untuk menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang perjalanan mereka. Ketika dalam perjalanan, pengguna juga boleh menghubungi PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 atau ke laman web PLUS di www.plus.com.my dan berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama lebuhraya ataupun menerusi saluran media sosial PLUS.

 

PLUS amat menghargai semua maklum balas yang diberikan oleh pelanggan dan komited untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

 

Pada masa yang sama, PLUS turut memberi fokus kepada kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan.

 

Semua 29 R&R dan 50 hentian sebelah di lebuh raya PLUS sudah disanitasi dan dibersihkan secara berterusan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatannya.

 

Secara amnya, terdapat banyak gerai makan & minum serta gerai serbaneka disediakan di lebuh raya PLUS sepanjang 1,130 kilometer. - DagangNews.com