Khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin universiti dilanjut secara kontrak selepas 60 tahun - PM | DagangNews Skip to main content

Khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin universiti dilanjut secara kontrak selepas 60 tahun - PM

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kerajaan akan menyambung khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin di universiti secara automatik menerusi lantikan kontrak selepas mereka tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut berkuatkuasa serta merta bagi memastikan pakar-pakar berkaitan yang masih meneruskan dan menghabiskan penyelidikan berkaitan vaksin terutamanya melibatkan subjek yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

 

"Mereka boleh teruskan (khidmat) selama lima tahun dan selepas itu kita akan tengok keperluan sama ada boleh tambah lagi atau tidak.

 

"Tidak ada lagi soal tidak terjamin dari segi tugas yang sedang mereka laksanakan selepas ini. 

 

“Syaratnya ialah kajian dan pembangunan (R&D) yang mereka lakukan tersebut boleh dikomersialkan dan seterusnya dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Menteri Sains Inovasi dan Teknologi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba. 

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa dan disebabkan itu, negara tidak mahu kehilangan bakat ini yang mungkin akan diambil oleh negara lain disebabkan faktor tamat perkhidmatan.

 

“Kalau tidak disambung (perkhidmatan) akan jejaskan kajian mereka dan kalau (kajian) disambung pakar baru mungkin akan makan masanya,” katanya. 

 

Ditanya mengenai jumlah pakar yang dijangka terlibat dengan keputusan kerajaan itu, Perdana Menteri berkata, data berkaitan akan diperoleh daripada Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi. 

 

Mengenai pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser yang sedang dijalankan, Ismail Sabri berkata Malaysia adalah negara pertama yang sedang melaksanakan penghasilan vaksin tersebut.

 

“Jadi kita mampu tawarkan vaksin sendiri sebab itulah kerajaan naik taraf Institut Genom Malaysia ini kepada Insitut Genom dan Vaksin Malaysia,” katanya. 

 

Terdahulu Ismail Sabri  melancarkan  Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta  Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.-DagangNews.com