KUALA LUMPUR 7 Dis - Pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi tunjang utama pertahanan angkasa negara apabila khidmatnya diteruskan sehingga tahun 2035.
Justeru, TUDM akan terus memastikan program selenggaraan pesawat tersebut dilaksanakan sepertimana yang telah ditetapkan agar ia sentiasa dalam keadaan terbaik.
Mengikut perancangan, program selenggaraan Sukhoi SU-30MKM akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.
Tempoh RMK-12 bermula pada tahun 2021 dan akan berakhir pada tahun 2025 manakala RMK-13 bermula 2026.
Program senggaraan tersebut merangkumi Service Life Extension Programme (SLEP) dan Mid Life Upgrade Programme (MLU).
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, perkara itu telah pun ditetapkan demi kelestarian operasi skuadron Sukhoi.
“Kementerian Pertahanan (Mindef) telah merancang program senggaraan berjadual bagi memastikan SU-30MKM dapat beroperasi dengan sepenuhnya sehingga tahun 2035.
“Ketika ini, Sukhoi SU-30MKM sedang menjalani senggaraan SLEP di bawah RMK-12 dan seterusnya akan melalui MLU pada RMke-13,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebelum ini timbul isu sama ada Malaysia berhadapan dengan masalah untuk menyelenggara pesawat berkenaan berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia.
Ini termasuk dakwaan kemungkinan TUDM terpaksa menggunakan komponen pesawat sedia ada sebagai alat ganti untuk digunakan pada pesawat yang hendak diselenggara.
Dalam bahasa industri, ia dipanggil 'cannibalise' untuk memastikan pesawat Sukhoi SU-30MKM mampu beroperasi.
Bagaimana pun, ia dinafikan Mindef kerana selenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM dijalankan oleh syarikat tempatan iaitu Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd (ATSC).
ATSC yang ditubuhkan pada tahun 1993 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang apabila negara mengoperasikan pesawat MIG-29N, dan sepanjang tempoh itu ia telah membangunkan kemahiran dalam aspek penyelenggaraan pesawat buatan Rusia.
Selain itu, Malaysia juga mempunyai kerjasama pertahanan dengan India termasuk dalam mendapatkan alat ganti pesawat kerana negara itu turut merupakan komponen untuk Sukhoi.
Sukhoi SU-30MKM merupakan salah satu daripada tunjang utama kekuatan TUDM dalam mengawasi kedaulatan ruang udara negara.
Sebanyak 18 buah pesawat ini dioperasikan semenjak kali pertama diterima pada tahun 2007 melibatkan perolehan sebanyak RM3.2 bilion
Difahamkan, setiap pesawat Sukhoi SU-30MKM memerlukan kos kira-kira RM126 juta untuk proses baik pulih sepenuhnya bagi setiap 1,500 jam penerbangan atau 10 tahun beroperasi.
Pada tahun 2019, Russia menawarkan untuk mengambil balik pesawat Sukhoi SU-30MKM dan MIG-29N TUDM jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.
Malaysia antara negara terawal menggunakan pesawat pejuang Rusia di Asia Tenggara setelah memperoleh 18 MiG-29N Fulcrum pada 1995, diikuti dengan 18 Sukhoi SU-30MKM 12 tahun kemudian.- DagangNews.com