KHPT Holdings sasar kumpul RM21.73 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

KHPT Holdings sasar kumpul RM21.73 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Dari kiri: Azmi Hariss Ibrahim, Pengarah Kewangan Korporat KAF IB, Datuk Tang Ngat Ngoh, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif KHPT, Datuk Noor Azian Shaari, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif KHPT, Datuk Noripah Kamso, Pengerusi KHPT, Datin Eloise See, Pengarah Urusan Kumpulan KHPT, Hideki Nomura, Pengarah Eksekutif KHPT, Chan Yan San, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif KHPT dan Rohaizad Ismail, CEO KAF IB pada majlis pelancaran prospektus di Kuala Lumpur hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - KHPT Holdings Berhad (KHPT) menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM21.73 juta daripada tawaran awam pemulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2024.

 

Dalam kenyataan medianya hari ini, syarikat itu berkata, sebahagian hasil itu akan digunakan untuk pengembangan perniagaan menerusi pelaburan perbelanjaan modal termasuk pembelian mesin tekan dan peralatan automasi serta pengubahsuaian kilang di Teluk Panglima Garang, Selangor.

 

Berdasarkan harga IPO 20 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak kira-kira 402 juta, pengeluar komponen dan alat ganti automotif itu akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM80.48 juta.

 

IPO kumpulan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 108.64 juta saham biasa baru dan tawaran untuk penjualan sebanyak 38.226 juta saham sedia ada.

 

Daripada 108.64 juta saham baharu, 78.46 juta saham akan disediakan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, 20.12 juta saham kepada Orang Awam Malaysia melalui pengundian dan 10.06 juta kepada pengarah dan pekerja yang layak daripada KHPT dan anak syarikatnya.

 

Sebanyak 38.23 juta saham di bawah tawaran jualan akan disediakan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KHPT, Datin Eloise See berkata, dengan status penyenaraian dan hasil daripada IPO, pihaknya terus komited terhadap pertumbuhan berterusan, inovasi dan keuntungan yang mampan. 

 

Katanya, IPO ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan KHPT, memberi platform untuk mempercepatkan kemajuan dan mencipta nilai yang berkekalan untuk pemegang saham.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KHPT Holdings meterai penjanjian taja jamin dengan KAF IB untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Keupayaan KHPT untuk secara konsisten memberikan komponen automotif berkualiti tinggi telah membolehkan kami menjalin hubungan yang kukuh dan jangka panjang dengan pelanggan Tier 1 kami yang dihargai dan pengeluar automotif tempatan.

 

"Pasukan kami yang berdedikasi dan langkah kawalan kualiti ketat telah menjadi faktor penting dalam mengekalkan kedudukan kami sebagai rakan yang dipercayai di pasaran," katanya hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KHPT Holdings Berhad, Datuk Noripah Kamso berkata, KHPT berbangga menjadi peneraju dalam kepelbagaian, kesetaraan, dan inklusiviti, dengan 66% Lembaga pengarah terdiri daripada wanita-wanita berwawasan dan mempunyai pencapaian yang luar biasa dalam bidang mereka. 

 

"Sebagai penerima anugerah 'Best Supplier Quality Scorecard (SQSC) Performance' daripada Proton untuk suku pertama 2024, kami komited untuk mengamalkan Kepelbagaian, Kesaksamaan, dan Inklusiviti (DEI) sebagai sebahagian daripada perjalanan kelestarian kami. 

 

"Selama lebih 30 tahun, KHPT telah membekalkan komponen automotif utama, terutamanya rangka kerusi kereta kepada Proton dan Perodua. 

 

"Asas ESG yang kukuh dan penerimaan awal pengiraan pelepasan karbon mencerminkan dedikasi kami terhadap operasi yang bertanggungjawab dan berasaskan nilai, memastikan impak positif kepada pemegang saham kami dan semua,” ujarnya. - DagangNews.com