Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Naza Kia Malaysia bakal memperkenalkan edisi terbaharu barisan model pemenang anugerah iaitu Kia Seltos tidak lama lagi.
Kia Seltos direka dengan perincian reka bentuk tersendiri yang mampu memberi penampilan dan pencahayaan yang lebih bergaya kepada kompak SUV.
"Kia Seltos direka untuk memberi pencahayaan yang hebat. Ia direka dengan seni dan teknologi pencahayaan yang mendalam.
"Aliran cahaya tiga dimensi dengan gambaran lebih kecil dan terperinci mampu menghubungkan fender besar ke bahagian belakang meningkatkan lagi gaya kompak SUV," jelas Naza Kia Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini.
Dengan pengaplikasian teknologi pencahayaan Heart Beat Lighting, kenderaan ini akan memberi kesan pencahayaan yang lebih mantap.
Penampilan kompak SUV yang lebih sporty itu mempunyai reka bentuk pencahayaan lampu LED penuh, lampu belakang dan lampu kabus ais yang baru direka.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu bar LED yang digabungkan ke bahagian gril bagi memberi kilauan tambahan untuk perjalanan malam.
Lampu Kia Seltos direka bukan hanya untuk menerangi kegelapan malam, malah untuk perjalanan pada waktu siang.
"Bagi perjalanan pada waktu siang, kenderaan ini dilengkapi dengan lampu depan 'crown jewel' bersama lampu Heart Beat di bahagian belakang yang memberi daya tarikan berbeza serta penglihatan yang lebih jelas.
"Model SUV kompak ini tampil dengan gaya lebih berani bersama konsep hidung harimau khas Kia selain bumper bekalang bersama kesan mufler logam yang menonjolkan lagi penampilan yang dinamik," jelas Naza Kia Malaysia.
Rekaan dalaman pula diserlahkan lagi dengan ciri moden dan berkualiti tinggi seperti ruangan rehat yang luas untuk keselesaan pengguna.
Kia Seltos kini boleh ditempah melalui Naza Kia Malaysia di bilik pameran Kia yang terpilih atau melalui tempahan dalam talian di Facebook Naza Kia Malaysia. - DagangNews.com