Kilang Comfort Gloves di Matang dan Simpang ditutup 2 minggu disebabkan PKPD | DagangNews Skip to main content

Kilang Comfort Gloves di Matang dan Simpang ditutup 2 minggu disebabkan PKPD

TAIPING 6 Ogos – Syarikat Comfort Gloves Berhad menerusi subsidiari milik penuhnya, Comfort Rubber Gloves Industries Sdn Bhd terpaksa menutup operasi kilangnya di Matang dan Simpang, Taiping selama 2 minggu bermula hari ini sehingga 19 Ogos depan.

 

Penutupan operasi itu adalah berikutan arahan kerajaan bahawa kedua-dua kilang berkenaan diletakkan dibawah Kawalan Perintah Pergerakan Dipertingkatan (PKPD). Kedua-dua kilang itu akan menyambung operasi pada 20 Ogos ini.

 

Susulan PKPD ke atas kilang, Comfort Gloves juga akan mengadakan ujian swab COVID-19 secara besar-besaran dan melaksanakan kuarantin mandatori terhadap kakitangannya, ahli keluarga mereka dan individu yang berhubung rapat.

 

Comfort Gloves dalam kenyataan medianya berkata, syarikat juga komited untuk melaksanakan ujian swab setiap minggu dan bila sahaja kakitangan terjangkit, akan memaklumkan kes kepada Kementerian Kesihatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Comfort Gloves, Lau Joo Yong berkata, merebaknya kes jangkitan yang mengakibatkan perintah PKPD dikuatkuasakan, secara umumnya membabitkan kes yang menunjukkan simptom dan hanya dikesan menerusi ujian swab.

 

“Kesihatan dan kesejahteraan kakitangan adalah keutamaan kami. Pihak kami telah mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan kakitangan kami bekerja di dalam persekitaran yang selamat.

 

“Pada masa yang sama, kakitangan yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) telah menerima suntikan dos pertama mereka,” jelas beliau.

 

 

comfort glove

 

 

Menurutnya, pengurusan Comfort Gloves akan bekerja rapat dengan Lembaga Pengarah bagi memastikan kesejahteraan kakitangan kami adalah terjamin dan pada masa yang sama, pelan strategik dilaksanakan bagi meminimumkan gangguan.

 

“Kami akan mengguna pakai inventori simpanan kami, yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya sebulan, bagi menampan impak kesan daripada penutupan operasi ini.

 

“Inventori simpanan ini adalah sebahagian daripada kesinambungan dan kemampanan perniagaan kami dan juga sebahagian strategi kami untuk bersiap sedia bila berlaku penutupan sebegini,” kata Lau. – DagangNews.com