Kimanis Power bayar dividen interim sebanyak RM16 juta kepada pemegang saham NRG Consortium | DagangNews Skip to main content

Kimanis Power bayar dividen interim sebanyak RM16 juta kepada pemegang saham NRG Consortium

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Kimanis Power Sdn. Bhd. (KPSB) iaitu syarikat kerjasama Petronas Gas Berhad dan NRG Consortium (Sabah) Sdn. Bhd. telah membayar dividen interim sebanyak RM16 juta kepada pemegang saham NRG Consortium bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

NRG Consortium merupakan anak syarikat milik penuh Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), yang merupakan unit Yayasan Sabah.

 

ICSB, yang diperbadankan pada 1988 merupakan syarikat pelaburan, pengurusan dan merupakan kumpulan syarikat Yayasan Sabah.

 

Pengerusi KPSB, Abdul Aziz Othman menyerahkan cek replika kepada Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. Datuk Jasnih Daya, disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu Jumaat lalu.

 

KPSB merupakan pengendali Kimanis Power Plant (KPP), antara pengeluar tenaga bebas di Sabah.

 

"Sejak memulakan usaha komersial KPSB pada 2014, syarikat itu telah berjaya menyampaikan pulangan dividen yang konsisten kepada pemegang sahamnya.

 

"KPSB telah menyumbang kepada kebolehpercayaan dan keselamatan bekalan kuasa di Sabah sejak 2014 dan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pejabat Peteronas Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif KPSB, Rozali Khamis. - DagangNews.com