LuMIC transformasikan Perak sebagai hab industri maritim terbaharu Malaysia | DagangNews Skip to main content

LuMIC transformasikan Perak sebagai hab industri maritim terbaharu Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Mei – Memiliki jalan raya penghubung adalah perkara asas untuk melancarkan sesuatu pelan pembangunan negeri sebagaimana dibuktikan menerusi pembinan Lebuh raya Utara Selatan, Lebuh raya Pantai Timur dan Pan Borneo.

 

Prasarana ini adalah penting bukan sahaja bagi rakyat bergerak tetapi juga barangan, sama ada berbentuk import atau eksport.

 

Inilah juga wawasan Kerajaan Negeri Perak yang memastikan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) dirancang teliti bagi menghubungkan titik-titik terpenting di negeri itu khususnya pelabuhan dan wilayah-wilayah baharu ekonomi yang hendak dibangunkan.

 

 

Bagi kebanyakan rakyat, lebuh raya WCE yang kini sudah 99.33% siap, bakal memudahkan perjalanan balik ke kampung terutama yang terletak di sempadan Selangor hingga ke Taiping. Teluk Intan misalnya, tidak perlu lagi masuk dari Bidor di lebuh raya PLUS.

 

Namun, melihat daripada pandangan lebih luas, pembinaan dan penyiapan lebuh raya WCE bakal merangsang ekonomi Perak apabila satu lagi projek berwawasan tinggi, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) siap kelak.

 

 

lumut

 

lumut

 

 

Dikenali sebagai Bandar Tentera Laut, Lumut juga dikenali pelancong untuk menikmati produk-produk laut serta Pulau Pangkor.

 

Bandar ini akan menerima pelaburan bernilai RM72 juta menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan Port of Antwerp-Bruges Antarabangsa (PoABI), anak syarikat Port of Antwerp-Bruges, gerbang perindustrian dan logistik terkemuka Eropah.

 

Kerjasama itu akan melibatkan pembangunan dan pengurusan Kluster Perindustrian Maritim Bersepadu dalam daerah Manjung di Perak.

 

Pelaburan bagi LuMIC dijangka mengambil masa selama 25 tahun dan impak daripada pembangunan ini bakal mewujudkan lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak  (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, rancangan pembangunan Perak, yang meliputi pembangunan LuMIC di Manjung membuka lebih banyak peluang untuk pelajar universiti di mana sejumlah 110 pelajar sepenuh masa sarjana dan pasca siswazah telah diberi peluang menyertai program latihan berbayar secara eksklusif selama 18 bulan.

 

 

Datuk Redza Rafiq Abdul Razak
                       Datuk Redza Rafiq Abdul Razak

 

 

Pelan pembangunan ekonomi Perak yang kini berjalan secara beransur-ansur telah mula menunjukkan faedah kepada penduduk negeri serta masyarakat setempat terutamanya dalam bidang pekerjaan, pendidikan serta limpahan ekonomi.

 

Usahasama PKNPk dengan pengendali pelabuhan terkemuka, Port of Antwerp-Bruges International untuk membangunkan LuMIC meberi manfaat dari pelbagai aspek, dan antara kesan positif yang dapat kita lihat adalah pelatih yang terpilih akan mendapat keistimewaan menjalani Latihan di syarikat ini yang beribu pejabat di Ipoh, Perak.

 

“Pengalaman transformatif ini menjanjikan untuk membentuk kerjaya mereka dan masa depan pendidikan di Perak. Peluang ini adalah umpama jemputan untuk memulakan perjalanan yang akan memberi impak berkekalan kepada dunia secara keseluruhan serta kehidupan pelatih yang terpilih,” beliau memberitahu DagangNews baru-baru ini.


 

lumut

 

wasiyyah
Terminal Pukal Lekir (LBT) di Lumut, kini merupakan kemudahan pukal kering terbesar di Asia Tenggara. 

 

 

PKNPk turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di Perak untuk mengkaji aspek semasa dan prospektif penciptaan pekerjaan secara menyeluruh.

 

“Maklum balas yang kami terima setakat ini amat menggalakkan,” jelas beliau lagi.

 

Sememangnya agak terlalu awal sekarang untuk mengukur manfaat pembangunan bandar maritim tersebut memandangkan ia adalah projek pembangunan berskala jangka masa panjang.

 

LuMIC merupakan agenda pembangunan bagi Kluster Perindustrian Maritim Bersepadu di Manjung yang memfokuskan sektor industri, maritim dan logistik merangkumi penglibatan langsung lalu perdagangan antarabangsa.

 

“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menilai tahap keterujaan dalam kalangan pekerja mahupun penduduk setempat berhubung pembangunan pelabuhan, memandangkan inisiatif yang dicadangkan masih perlu dilaksanakan secara beransur-ansur.

 

“Namun begitu, kita dapat melihat perkembangan limbungan kapal secara beransur-ansur dan peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan pelabuhan dan logistik di kawasan Lumut, yang menunjukkan kesan ekonomi yang positif,” kata beliau lagi.

 

Pembangunan proaktif yang dirancang oleh PKNPk ini pastinya bakal menjadi enjin pertumbuhan bagi Negeri Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) secara amnya.

 

LuMIC bersedia menjadi enjin pertumbuhan bagi Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara didorong dengan penyertaan sektor swasta melalui pelaburan langsung asing dan domestik, insentif zon ekonomi khas dan kerjasama industri-akademik yang kukuh.

 

 

lumut

 

 

Salah satu inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 adalah Program Flagship 13: Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara dimana PKNPk telah diberi peranan sebagai peneraju utama untuk mengenal pasti dan melaksanakan aktiviti-aktiviti rantaian nilai berkaitan maritim yang bakal merancakkan ekonomi setempat seterusnya melonjakkan negeri Perak sebagai negeri pelabuhan pintar.

 

Peranan PKNPk dalam Program Flagship 13 ini adalah selaras dengan Roadmap Transformasi PKNPk yang menjadikan Agenda Pelabuhan dan Logistik sebagai salah satu bidang penumpuan utamanya.

 

Inisiatif pembangunan LuMIC ini berupaya menjadi pemangkin untuk memacu Negeri Perak ke arah ekonomi bernilai tinggi menjelang 2047.

 

Ia juga merupakan salah satu inisiatif yang mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan telah dikategorikan sebagai sebahagian daripada elemen Rancangan Pelan Perak Sejahtera 2030. - DagangNews.com