Kinergy Advancement, Agromate terajui penjanaan RE kilang minyak sawit di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kinergy Advancement, Agromate terajui penjanaan RE kilang minyak sawit di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Kinergy Advancement Berhad (KAB) telah bekerjasama dengan pembekal baja terkemuka Malaysia, Agromate Holdings Sdn Bhd (Agromate), untuk menerajui penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) merentasi semua kilang minyak sawit di Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, KAB berkata anak syarikatnya yang mengendali penyelesaian tenaga lestari (SES), KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) telah memeterai perjanjian pemegang saham dengan Agromate untuk mewujudkan kerjasama melalui Genplan Advisory & Management Sdn Bhd (Genplan).

 

Agromate adalah penyedia produk pertanian sehenti global, khususnya dalam pengeluaran baja merentasi pasaran tempatan dan antarabangsa dengan lebih 500 kumpulan pelanggan perladangan merentasi Asia, Afrika, Amerika Utara dan Eropah.

 

Kerjasama KAB dan Agromate ini berusaha untuk memanfaatkan pasaran yang sebahagian besarnya kurang diterokai dengan potensi besar meraih pendapatan berulang, disokong status Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, dengan 447 kilang minyak sawit berkapasiti 119.5 juta tan setahun.

 

Katanya, kedua-dua pihak berhasrat untuk membentuk semula operasi kilang minyak sawit dengan memanfaatkan sumber biojisim dan projek tenaga lestari lain secara aktif bagi memajukan laluan tenaga boleh diperbaharui.

 

Selain itu, Genplan dijangka menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) disesuaikan dengan projek mesra alam, yang akan menjamin prestasi jangka panjang dan mampan bagi usaha berkaitan tenaga melalui perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan cekap.

 

Memanfaatkan kepakaran KAB dalam penyelesaian tenaga selama 26 tahun dan pengetahuan luas Agromate dalam industri minyak sawit selama 44 tahun, kerjasama ini turut menyumbang secara aktif untuk mengekang jejak karbon, memupuk kelestarian alam sekitar dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan ketara, terutamanya dalam sektor perkilangan minyak sawit.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata kerjasama dengan Agromate mencerminkan minat dan komitmen kumpulan untuk menerajui tanggungjawab dalam menginovasi sektor tenaga lestari, khususnya dalam industri minyak sawit.

 

 

Datuk Lai Keng Onn
Datuk Lai Keng Onn

 

 

“Biogas berfungsi sebagai pengganti ideal untuk bahan api fosil yang intensif karbon dan tidak boleh diperbaharui, yang membantu mengurangkan dengan ketara jumlah bahan api fosil digunakan dalam pengeluaran tenaga daripada sumber boleh diperbaharui,” ujar beliau.

 

Menurut Lai, kerjasama itu juga boleh menghasilkan baja bukan bahan api fosil daripada biogas, yang akan menyumbang kepada amalan lestari dalam pertanian, menggalakkan kesihatan tanah dan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.  - DagangNews.com