KUALA LUMPUR 14 Julai - Para penumpang Malaysia Airline Bhd. (MAB) dihadiahkan kit kebersihan percuma menerusi kempen 'Fly Confidently' di bawah Malaysia Aviation Group bermula semalam.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Lau Yin May berkata, kit kebersihan yang dihadiahkan kepada pelanggan itu dilengkapi pelitup muka bukan pembedahan, pensanitasi tangan dan tisu pensanitasi dalam bungkusan berzip kecil.
"Kami komited untuk memberikan pengalaman yang menyeluruh kepada pelanggan dan ketenangan ketika melakukan perjalanan dengan syarikat penerbangan kami.
"Bermula daripada saat mereka menempah tiket penerbangan, tiba di lapangan terbang dan melepasi Imigresen untuk menaiki pesawat, semua langkah itu telah diintegrasikan dengan lancar selain dilengkapi langkah-langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan dan petugas," katanya dalam satu kenyataan.
Kempen 'Fly Confidently' Malaysia Aviation Group itu juga berhasrat menjadikan penerbangan yang lebih selamat disamping meningkatkan tahap kesedaran pelanggan dan mengutamakan langkah kesihatan dan keselamatan sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com