Kitaran menaik segmen teknologi, Kenanga Research jangka sektor pembuatan pulih lebih pantas bermula separuh kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

Kitaran menaik segmen teknologi, Kenanga Research jangka sektor pembuatan pulih lebih pantas bermula separuh kedua 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Kenanga Research menjangkakan pemulihan sektor pembuatan mengambil masa lebih pantas, bermula pada separuh kedua tahun ini didorong kitaran menaik segmen teknologi.

 

Katanya, keadaan itu juga disokong oleh pemulihan beransur-ansur ekonomi di China selepas wabak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan mengambil kira kelembapan berterusan dalam pertumbuhan indeks pembuatan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2023 diunjur kekal pada 3.7% berbanding 3.4% yang dianggarkan Jabatan Perangkaan (DOSM).

 

Katanya, pertumbuan KDNK 2023 dijangka berada dalam julat antara 3.5% hingga 4%.

 

"Di samping sektor perkhidmatan yang berdaya tahan dengan peningkatan ketibaan pelancong, kami menjangka pertumbuhan KDNK 2024 akan terus berkembang kepada 4.9%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 0.1% pada Disember 2023 - DOSM

 

Terdahulu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.1% pada Disember 2023 selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut disebabkan penyusutan dalam sektor pembuatan sebanyak -1.4%.

 

Sektor perlombongan dan elektrik masing-masing mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan 3.6% (November 2023: 1.9%) dan 4.6% (November 2023: 4.3%). 

 

Industri berorientasikan domestik sebaliknya mengekalkan prestasi kukuh sebanyak 4.2% pada Disember 2023 berbanding 5.8% pada bulan sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, pada suku tahun keempat 2023, IPP mencatatkan peningkatan 1% dari tahun ke tahun berbanding -0.05% yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2023. 

 

Bagi tempoh tersebut, sektor perlombongan dan elektrik meningkat masing-masing sebanyak 4.3% dan 4.9%. Sebaliknya, sektor pembuatan menurun secara marginal sebanyak 0.2% pada suku tahun tersebut, meneruskan trend negatif untuk dua suku tahun berturut-turut. 

 

Perbandingan dengan suku tahun ketiga 2023, IPP tumbuh 2.5% disokong terutamanya oleh sektor Perlombongan dan Pembuatan masing-masing pada 11.6% dan 0.6%.- DagangNews.com