KJTS dibuka 44 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE, premium 63% | DagangNews Skip to main content

KJTS dibuka 44 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE, premium 63%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Jan - KJTS Group Berhad (KJTS), penyedia perkhidmatan sokongan bangunan meraikan penampilan sulung di Pasaran ACE pada harga pembukaan 44 sen sesaham iaitu premium 63% daripada harga IPO sebanyak 27 sen sesaham.

 

KJTS disenaraikan di bawah nama saham "KJTS" dengan kod saham "0293".

 

Melalui IPO tersebut, KJTS telah berjaya mengumpul sebanyak RM58.87 juta.

 

Peruntukan dana ini adalah seperti berikut, RM44.92 juta ke arah pengembangan segmen tenaga penyejuk dan pembesaran pejabat di Malaysia, Thailand dan Singapura; RM8.12 juta untuk modal kerja dan RM5.83 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan KJTS Berhad, Azura Azman berkata, kejayaan penyenaraian ini adalah hasil usaha kerjasama, didorong kerja keras dan dedikasi pasukan.

 

"Kami teruja dengan peluang yang akan dibawa, membolehkan kami mengembangkan dan meningkatkan perkhidmatan kami di Malaysia, Singapura dan Thailand," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu berlangsung majlis pelancaran saham KJTS di Pasaran ACE di Bursa Malaysia hari ini.

 

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan KJTS, Lee Kok Choon, Pengarah Eksekutif Kumpulan KJTS, Sheldon Wee dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Investment Bank Berhad, Lee Jim Leng.  

 

Menurut Azura, sambutan pelabur yang positif terhadap IPO ini menggariskan kepercayaan pasaran terhadap keupayaan dan potensi pertumbuhan Kumpulan KJTS. 

 

"Kami berharap dapat menggunakan momentum ini untuk memacu pertumbuhan Kumpulan KJTS dan mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor perkhidmatan sokongan bangunan,” jelasnya.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Pemilik Buku Tunggal bagi IPO Kumpulan KJTS.

 

Mengkhusus di dalam pengurusan tenaga penyejukan, pembersihan dan perkhidmatan pengurusan kemudahan, KJTS dan anak syarikatnya ialah pemain industri perkhidmatan sokongan bangunan. 

 

Keupayaan kejuruteraan dalaman Syarikat dan komitmen terhadap kemampanan telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan menyumbang kepada sasaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (“ESG”) pelanggan, termasuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.- DagangNews.com