KKD raih RM600 juta komitmen pelaburan, lebih RM330 juta peluang eksport di UAE | DagangNews Skip to main content

KKD raih RM600 juta komitmen pelaburan, lebih RM330 juta peluang eksport di UAE

Fahmi Fadzil (enam dari kiri) mengetuai misi pelaburan dan eksport ke UAE, yang turut menyaksikan penyerahan lapan MoU melibatkan syarikat Malaysia, Dubai dan Timur Tengah di Dubai (Gambar ihsan FB Fahmi Fadzil).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya meraih komitmen pelaburan bernilai RM600 juta dan peluang eksport bernilai lebih RM330 juta menerusi misi pelaburan dan eksport ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, misi tersebut berlangsung serentak dengan pameran Gulf Information Technology Exhibition (GITEX Global 2023) dan acara Expand North Star (ENS) di Dubai.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, kejayaan tersebut telah dicapai melalui lapan memorandum persefahaman (MoU) dan rantaian perniagaan antara syarikat teknologi Malaysia dengan rakan kongsi yang berpotensi.

 

Di samping itu, Fahmi juga telah mengadakan perbincangan dengan DAMAC Group, sebuah konglomerat terkemuka UAE, untuk melabur dalam beberapa sektor strategik termasuk penubuhan pusat data di Malaysia.

 

Setakat Ogos 2023, Malaysia telah berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM37.4 bilion.

 

 

Dalam lawatan rasmi empat hari ke UAE, Fahmi Fadzil turut menghadiri GITEX Global 2023 dan ENS di Dubai
Dalam lawatan rasmi empat hari ke UAE, Fahmi Fadzil turut menghadiri GITEX Global 2023 dan ENS di Dubai (Gambar ihsan FB Fahmi Fadzil)

 

 

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan digital negara meliputi rangka kerja yang disediakan melalui Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik nasional bertujuan untuk memacu pertumbuhan pesat ekonomi digital dan mewujudkan limpahan hasil kepada rakyat, sejajar dengan pelan pembangunan Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” menurut kenyataan itu.

 

Sebanyak 12 syarikat berteknologi tinggi Malaysia turut serta pada GITEX Global 2023 dari 16 hingga 20 Oktober 2023 dan ENS dari 15 hingga 18 Oktober 2023.

 

Kedua-dua acara tersebut menjadi platform yang menggalakkan kerjasama antara negara, selain memberikan pendedahan kepada peserta misi untuk berinteraksi, memperluas jangkauan dan mempamerkan rumusan digital, produk serta perkhidmatan terbaik.

 

Kejayaan ini juga menandakan permulaan positif kepada acara perdana MDEC, iaitu Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023), yang bakal mempamerkan ekosistem teknologi dan ekonomi digital terbaik negara.  - DagangNews.com