KUALA LUMPUR 29 April – Gabungan kumpulan perdagangan Industries Unite mencadangkan agar garis panduan untuk mengurangkan premis terlalu padat (overcrowding) dikeluarkan bagi perniagaan di bawah `senarai negatif’ SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kelab malam adalah satu-satunya perniagaan di bawah senarai negatif pada 1 April, dan tidak dibenarkan beroperasi sejak permulaan wabak pada Mac 2020.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan senarai negatif di bawah SOP Majlis Keselamatan Negara MKN akan digugurkan mulai 15 Mei.
Pengasas bersama Industries Unite, Datuk David Gurupatham berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan diantara mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dan kebenaran bagi kelab malam untuk beroperasi.
"Satu daripada prosedur operasi standard (SOP) utama yang saya fahami adalah tiada kebenaran untuk menari buat masa ini. Kami akan menunggu untuk melihat jika ini diumumkan secara rasmi.
"Perkara kedua, mungkin isu kepadatan premis. Kami mencadangkan agar kelab mengambil berat tentang aspek keselamatan awam dan melakukan kawalan kendiri mereka sendiri dengan tegas untuk memastikan kita dapat terus beroperasi," beliau memberitahu DagangNews.
Beliau menjelaskan bahawa kebenaran untuk menari itu telah dibincangkan pada pertemuan dengan menteri dan susulan daripada itu, SOP dan garis panduan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
"Kita tak tahu... menteri kata jangan menari. Saya mencadangkan supaya kepadatan dan kesesakan dikawal kerana kontak rapat adalah isu apabila melibatkan kelab malam," jelas David lagi.
Industries Unite menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 150,000 hingga 250,000 pekerjaan dipertaruhkan apabila kelab malam dan pub lingkup sepenuhnya, yang kemudiannya akan memberi beban tambahan kepada kerajaan kerana menanggung penganggur disebabkan hal ini.
Kebanyakan pusat hiburan seperti karaoke, pub dan kelab malam telah ditutup sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 2020. – DagangNews.com