KKM teliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG) | DagangNews Skip to main content

KKM teliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG)

KUALA LUMPUR 9 Dis - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan meneliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG), dari segi pelaksanaannya menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang belum diluluskan di Parlimen.

 

“(Dasar GEG) itu ada baiknya secara umum bagi saya, tetapi saya perlu lihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaan itu apabila kita nak sampai ke sesuatu keputusan, kadangkadang (pelaksanaan) tidak boleh drastik… itu saya akan tengok,” katanya ketika menjadi tetamu di program Bersama Pemimpin terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mahu meneruskan pelbagai dasar digubal kementerian itu oleh menteri sebelumnya.

 

Dr Zaliha berkata, beliau terbuka untuk menerima nasihat dan cadangan daripada bekas menteri-menteri kesihatan dan pemegang taruh dalam menerajui kementerian itu, lapor Bernama.

 

Menjadi wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zaliha mengakui cabaran terbesarnya ialah meneruskan kecemerlangan KKM, di samping berusaha untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan negara secara amnya.

 

Rang undang-undang berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat bagi merokok.

 

 

kkm
Dr Zaliha Mustafa berada di ruangan Bernama Radio untuk program Bersama Pemimpin di Wisma Bernama, pada 9 Disember 2022 - Gambar BERNAMA

 

 

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lepas, tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi. - DagangNews.com