KKMM lancar 3 inisiatif bantu Keluarga Malaysia yang terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

KKMM lancar 3 inisiatif bantu Keluarga Malaysia yang terjejas akibat COVID-19


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan tiga inisiatif khusus untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

 

Inisiatif pertama adalah penyerahan 'Kotak Kasih' oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat e-dagang Shopee, manakala RTMKlik sebagai platform penyiaran ketiga Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

 

Turut dilancarkan kempen #SayaDigital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta penyerahan geran automasi digital dan kandungan digital.

 

Kesemua inisiatif itu dilancarkan serentak oleh Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif ini mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

"Usaha dan kerjasama ini perlu diterapkan dalam semua peringkat masyarakat.

 

shopee

 

"KKMM sentiasa prihatin terhadap nasib semua Keluarga Malaysia yang terkesan susulan pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Annuar berkata, inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) oleh MyCreative Ventures dengan Shopee akan mengagihkan Kotak Kasih berupa bantuan makanan kepada 10,000 keluarga di seluruh negara.

 

"Setiap kotak mengandungi barangan makanan asas seperti beras, gula, bihun, malt coklat, biskut, minyak masak dan pelbagai lagi keperluan asas.

 

"Tujuan CSR ini adalah untuk membantu ahli komuniti kreatif dan kumpulan B40 terutamanya dalam waktu pandemik yang mencabar," ujarnya.

 

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya bersyukur  dapat membantu dan membekalkan kotak-kotak bantuan kepada komuniti kreatif tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif amal #ShopeeGivesBack.

 

"Inisiatif ini sejajar dengan usaha berterusan untuk menyokong komuniti tempatan dan kami berharap Kotak Kasih ini dapat membawa keceriaan kepada keluarga yang menerimanya," katanya. - DagangNews.com