PETALING JAYA 24 Mac – KL Wellness City Sdn Bhd memperkenalkan bandar lestari berasaskan penjagaan kesihatan yang pertama seumpamanya, dikenali sebagai KL Wellness City, projek yang terletak di Bukit Jalil ini akan dibangunkan dan dalam tempoh 10 tahun.
Bandar itu merangkumi tujuh tanah seluas lebih 26.49 ekar itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan lebih daripada RM11 bilion.
Diilhamkan oleh Pengarah Urusan, Dato’ Dr Colin Lee, KL Wellness City bakal mentakrif semula cara pesakit Malaysia dan antarabangsa menerima rawatan, dalam sebuah lestari yang merangkumi semua aspek kesihatan, perubatan, kecergasan dan kesejahteraan.
Di KL Wellness City, penjagaan kesihatan disepadukan dengan rawatan am, rawatan pencegahan dan kecergasan bagi merealisasikan potensi kesihatan, kesejahteraan dan kecergasan setiap penduduk dan pesakit.
Projek ini telah dirancang dengan teliti bagi membolehkan semua penghuninya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang, menggabungkan persekitaran binaan dengan unsur alam semula jadi, kawasan hijau, kemudahan, keselamatan.
Dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan komersial serta peruncitan, dan landskap hijau yang merimbun, reka bentuk bangunan ini memaksimumkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi.
Sementara itu, bagi memanfaatkan kesan penenang dan penyembuhan alam semula jadi, perbandaran ini menawarkan nisbah penghuni kepada alam semula jadi yang tinggi, iaitu sebanyak 5 meter persegi kawasan hijau bagi setiap penghuni.
Menurut Dr Colin, pihaknya menyasarkan hab penjagaan kesihatan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi terkemuka untuk pelancong kesihatan global, dan menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Malaysia.
“Penjagaan perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara, dan Hospital Antarabangsa kami menjadikan hospital terbaik di rantau ini sebagai penanda aras, terutamanya Hospital Mount Elizabeth Novena di Singapura dan Hospital Antarabangsa Bumrungrad di Bangkok.
‘’Kedua-duanya memberikan perkhidmatan kepada sejumlah besar pelanggan yang terdiri daripada pesakit antarabangsa.
‘’Kami yakin bahawa perancangan rapi kami untuk perbandaran bersepadu dan saling berhubung sepenuhnya ini akan menyumbang kepada pengalaman positif bagi kesemua mereka yang ingin mendapatkan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di KL Wellness City,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
The Nobel Healthcare Park, kompleks suit perubatan dan kesihatan khusus dengan GDV RM1 bilion, dirancang untuk dijadikan sebagai hab sehenti daripada proses diagnosis hinggalah kepada pemulihan.
The Nobel Healthcare Park bersambung terus dengan Hospital Tertier Antarabangsa melalui laluan jejambat dua tingkat, ia menempatkan suit perubatan dan sokongan perubatan sampingan termasuk diagnostik, terapeutik dan perkhidmatan penjagaan dalam sebuah kompleks yang saling bersambungan bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi keseluruhan ekosistem penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Pakar yang mengamalkan perubatan di The Nobel Healthcare Park akan mempunyai akses penuh kepada perkhidmatan Hospital Tertier Antarabangsa yang dijadualkan dibuka pada awal 2025, seperti 624 katil yang boleh ditingkatkan hingga ke 1,000 katil, peralatan tercanggih dan dewan pembedahan, dilengkapi dengan makmal inovasi dan kemudahan R&D klinikal.
Rangkaian penuh perkhidmatan perubatan sokongan dan sampingan yang disediakan berupaya memberikan pengamal perubatan keputusan dan laporan yang lebih cepat daripada sistem infrastruktur IT yang bersepadu.
Suit perubatan dalam The Nobel Healthcare Park dibina mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan dan direka bentuk dalam format modular, membolehkan pakar menentukan saiz suit yang sesuai mengikut keperluan mereka, dengan keluasan lantai suit bermula daripada 223 kaki persegi dan harga bermula daripada RM414,000. – DagangNews.com