KUALA LUMPUR 26 Jan - KLCC Property Holdings Berhad (KLCCP) memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) bersama pemegang saham sedia ada Suria KLCC Berhad iaitu Ocmador (Malaysia) City Retail Centre Sdn Bhd, Port Moresby Investments Limited dan Bold Peak Sdn. Bhd. bagi mengambil alih 40% kepentingan ekuiti berharga RM1.95 bilion.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, setelah selesai cadangan itu, Suria KLCC, anak syarikat 60% milik KLCCP akan menjadi anak syarikat milik penuh mereka.
KLCCP dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT), secara kolektif dikenali sebagai KLCCP Stapled Group yang melabur, membangun, memiliki dan mengurus aset ikonik dan berkualiti yang membentuk 31% daripada Pelaburan Hartanah Bursa Malaysia Indeks Amanah (REIT).
Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP, Datuk Md. Shah Mahmood berkata, cadangan pengambilalihan itu akan mengukuhkan portfolio keseluruhan KLCCP dan dijangka menjana hasil antara 6% higga 7%.
"Dengan fokus tertumpu kepada strategi penyewa, pemahaman pelanggan yang didorong data mendalam dan rancangan jangka panjangnya untuk menggiatkan semula industri runcit, Suria KLCC mempunyai prospek jangka panjang yang positif dan akan menjadi nilai tambah kepada portfolio aset KLCCP Stapled Group," katanya.
Katanya, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai oleh pinjaman luar dan dijangka siap menjelang suku kedua 2024.
Suria KLCC merupakan destinasi beli-belah pengalaman ikonik Malaysia dengan lebih 350 kedai khusus daripada jenama fesyen global dan kedai utama kepada kegemaran tempatan.
Pusat beli-belah itu telah melangkaui pasaran digital, menerajui industri peruncitan dengan mengembangkan pengalaman pelanggan dengan pengalaman gaya hidup yang unik, memacu jualan penyewa yang kukuh, serta penghunian dan kadar kehadiran yang tinggi.- DagangNews.com