KLCI bermula lesu, saham Petronas Dagangan dahului kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI bermula lesu, saham Petronas Dagangan dahului kaunter rugi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pasaran tempatan bermula lesu meskipun semalam kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran terhadap aktiviti ekonomi. 

 

Pada 9.06 pagi, indeks utama FBM KLCI hampir tidak berubah dengan hanya susut 0.06 mata kepada 1,583.42 mata. 

 

Malacca Securities Research berkata, bursa tempatan mungkin berubah kepada mendatar di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung dalam pasaran lebih meluas menjejaki prestasi lemah semalaman Wall Street. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan terdapat sokongan daripada pembelian ekuiti asing baru-baru ini di sebalik harapan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

"Ini berikutan lebih banyak sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi di Lembah Klang dengan bergerak memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), secara tidak langsung menjadi penampan kepada risiko penurunan dalam pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua penggiat industri kreatif yang lengkap 2 dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 9 September ini.

 

Kebenaran tersebut membabitkan beberapa aktiviti termasuk pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.

 

Selain itu, aktiviti panggung wayang di negeri fasa satu juga dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi membabitkan kapasiti 50% sahaja. 

 

Sementara itu, Bloomberg melaporkan pasaran saham Asia dilihat memulakan dagangan berhati-hati selepas pasaran Amerika Syarikat (AS) merosot ekoran kebimbangan terhadap varian Delta akan menggugat usaha pemulihan ekonomi. 

 

Setakat pagi ini, dagangan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 235 berbanding 211 manakala 335 tidak berubah dan 1,435 tidak diniagakan. Jumlah dagangan sebanyak 413.59 juta bernilai RM161.66 juta. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif, saham PUC Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 3 sen atau 18.18% kepada 19.5 sen. 

 

Turut rancak diniagakan termasuklah Jaks Resources Bhd., GIIB Holdings Bhd., Scope Industries Bhd. dan Sersol Bhd. 

 

Kaunter untung pula didahului dengan saham Sungei Bahan Rubber Company (Malaya) Bhd. menokok 45 sen kepada RM3.65.

 

Ini diikuti dengan saham Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) naik 20 sen kepada RM27.46 dan Plenitude Bhd. naik 24 sen kepada RM1.24. 

 

Sebaliknya, kaunter rugi menyaksikan saham-saham wajaran tinggi mendahului dagangan terutama berkaitan Petronas. 

 

Petronas Dagangan Bhd. mendahului dagangan kaunter ini dengan susut 36 sen kepada RM19.60 diikuti Petronas Gas Bhd. susut 18 sen kepada RM16.62. 

 

Saham Hartalega Holdings Bhd. juga berada di kaunter rugi dengan susut 10 sen kepada RM6.81 dalam dagangan pagi ini. - DagangNews.com