KUALA LUMPUR 22 Sept. - Indeks pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka rendah setelah pasaran serantau turut merosot didorong kebimbangan terhadap gelombang kedua COVID-19.
Setakat 9.05 pagi, KLCI turun 1.84 mata kepada 1,497.59.
Pasaran saham Asia dibuka rendah didorong perasaan bimbang terhadap perintah berkurung baharu di Eropah dan laporan mengenai institusi kewangan melakukan pemindahan dana secara haram yang menjejaskan saham perbankan global.
Menurut Reuters, JPMorgan Chase & Co dan Bank of New York Mellon Corp masing-masing merudum 3.1% dan 4.0% semalam, manakala HSBC Holdings Plc dan Standard Chartered Plc mencecah paras terendah sejak 25 tahun lalu setelah dikaitkan dengan laporan berkenaan.
“Persoalannya adakah sisa (residue) keadaan itu memberi impak ke atas prestasi kewangan serantau,” kata penganalisis pasaran CommSec, Tom Piotrowski.
Di Wall Street, Dow Jones Industrial Average merosot 1.84%, S&P 500 turun 1.16% dan Nasdaq Composite jatuh 0.13%.
Saham-saham di Amerika Syarikat (AS) jatuh sejak tiga minggu lalu susulan para pelabur membuang saham berkaitan teknologi yang berprestasi tidak memberangsangkan diikuti peningkatan saham yang melonjakkan S&P 500 dan Nasdaq ke paras tertinggi.
Di Asia, saham Australia menurun 0.5% manakala, Korea Selatan merudum 0.9% dan Jepun pula ditutup susulan cuti umum.
Indeks niaga hadapan Hong Kong pula turun 0.36%.
Langkah pengekangan pandemik di United Kingdom menyebabkan kemerosotan syarikat penerbangan, hotel dan kapal layar di kedua-dua pasaran Eropah dan AS, menambahkan lagi ketakutan terhadap sekatan lain.
Sekatan terhadap perniagaan disebabkan pandemik COVID-19 akan menjejaskan proses pemulihan ekonomi ketika ini dan memberi tekanan ke atas pasaran saham. - DagangNews.com